Fizi bersama isteri dan bayi mereka
Fizi bersama isteri dan bayi mereka

Kuala Lumpur: Penyampai radio Hot FM, Fizi Ali, 37, berkongsi khabar gembira isterinya Siti Zulaikha, 31, selamat melahirkan bayi perempuan, hari ini.

Fizi atau nama sebenarnya Mohd Hafizudin Alimudin meluahkan rasa syukur urusan isterinya dipermudahkan dalam proses bersalin cahaya mata sulung mereka itu.

"Syukur Alhamdulillah, terima kasih semua yang doakan kami sekeluarga. Mama (panggilan isteri Fizi) sudah selamat lahirkan bayi perempuan.

"Kuat mama tadi, hampir enam jam bertarung untuk bersalin normal. Jadi sekarang bertambah seorang lagi perempuan dalam hidup 'daddy' (panggilan Fizi)," katanya.

Fizi nyata sangat tersentuh dan berterima kasih kepada isteri tercinta kerana sudah bertarung nyawa melahirkan puteri mereka.

"Terima kasih sayang bertarung nyawa untuk anak kita. Saya tahu awak kuat," katanya.

Fizi dan Siti Zulaikha mendirikan rumah tangga pada 23 Oktober tahun lalu.

Sebelum ini, Fizi pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Shakilla Khoriri pada 18 Januari 2018, namun bercerai pada Disember 2021.

Mereka mempunyai seorang cahaya mata iaitu Ameena Sofia yang kini berusia 5 tahun.

Siti Zulaikha juga memiliki seorang anak perempuan hasil perkahwinan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 9:33 PM