FOTO Bernama
FOTO Bernama
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan untuk mentakrifkan Ahli Sunah Wal Jamaah perlu didukung oleh semua umat Islam.

Mufti Pahang Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, pentakrifan itu dibuat daripada sudut akidah yang bersumberkan kepada aliran al-Asyairah dan Al-Maturidiyah.

"Ia juga membabitkan fiqh mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain dan tasawuf Imam Ghazali serta Imam Junaid al-Baghdadi.

"RUU ini mestilah didukung oleh semua umat Islam dan sangat relevan kerana memperkukuhkan asas Islam sedia ada, sekali gus memberi takrifan jelas berkenaan Ahli Sunah Wal Jamaah," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Semalam, tiga Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan hal ehwal Islam dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Ia turut membabitkan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 bertujuan mengadakan peruntukan mengenai mufti, penentuan mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara berkaitan.

Mengulas lanjut, Asmadi berkata, aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah adalah suatu aliran yang bersifat sederhana serta wasati.

"Mereka tidak membelakangi wahyu seperti mana golongan muktazilah dan tidak pula membelakangi akal seperti mana golongan mujasimah harfiyah (golongan literalis).

"Golongan ini juga tidak mudah dalam soal takfiri seperti golongan khawarij dan tidak pula longgar seperti golongan murjiah dan Liberal-Plural-Sekular.

"Dalam bab takdir iaitu Qada' dan Qadar, mereka adalah pertengahan antara golongan Qadariyah dan Jabariyah," katanya.

Menurutnya, aliran itu memuliakan sahabat Rasulullah SAW tidak seperti golongan Syiah dan turut memuliakan Ahlul Bait tidak seperti golongan Nasibi.

Pada masa sama, Nadhatul Ulama Malaysia (Na'am) turut memberikan sokongan dan dukungan penuh terhadap RUU berkenaan khususnya Bahagian II RUU yang mencadangkan peruntukan berhubung mufti dan timbalannya.

Pihak Na'am berharap bahawa kerajaan dan pembangkang dapat bersatu hati dalam isu penting ini demi kemaslahatan umat dan keseimbangan fahaman yang sederhana (wasatiyah).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 8:43 PM