IlKAY Gundogan bakal mengetuai Jerman apabila bertemu Sepanyol di suku akhir Euro 2024. FOTO AFP
IlKAY Gundogan bakal mengetuai Jerman apabila bertemu Sepanyol di suku akhir Euro 2024. FOTO AFP
Reuters

Berlin: Jerman yang akan menentang pencabar kejuaraan, Sepanyol dalam pertembungan suku akhir Euro 2024, Sabtu ini berharap dapat menamatkan rekod tanpa kemenangan dalam kejohanan utama ke atas La Roja sejak 1988.

Jerman menikmati pencapaian terbaik di kejohanan antarabangsa dalam tempoh lapan tahun dengan penyokong tuan rumah terdesak mahukan gelaran pertama dalam tempoh sedekad.

Bagaimanapun perlawanan menentang Sepanyol juga dilihat umpama aksi final antara dua pasukan paling 'hangat' dalam pertandingan itu setakat ini.

Sepanyol melepasi peringkat dengan pemain sayap Lamine Yamal, pemain paling muda tampil di Euro pada usia 16 tahun, dan Nico Williams membentuk gandingan menakjubkan.

Kemenangan 4-1 ke atas Georgia pada pusingan 16 terakhir mengesahkan prestasi mantap mereka dengan kemenangan keempat dalam empat perlawanan ketika mereka berusaha memenangi kejuaraan Eropah kali keempat.

Jerman, yang juga memenangi kejohanan itu sebanyak tiga kali, terpaksa bekerja keras untuk menjuarai kumpulan mereka dengan gol penyamaan pada masa kecederaan ketika menentang Switzerland sebelum kemenangan 2-0 ke atas Denmark di pusingan kalah mati.

Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann perlu membuat keputusan sukar untuk posisi bek kiri, dengan David Raum dan Maximilian Mittelstaedt yang selesa di bahagian serangan mengisi posisi itu dalam perlawanan baru-baru ini.

Beliau juga mungkin memilih pemain yang lebih gemar bertahan, Benjamin Henrichs.

"Kami tidak sepatutnya bersembunyi menentang Sepanyol. Sebagai sebuah pasukan, kami boleh bersaing dengan mereka. Kami juga mempunyai kualiti yang hebat," kata kapten Ilkay Gundogan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 8:24 PM