AB Rauf (tengah) melawat tapak pameran peralatan perubatan selepas merasmikan 6th National Paramedic Emergency Update Melaka 2024 (I-Premium) di Melaka. FOTO BERNAMA
AB Rauf (tengah) melawat tapak pameran peralatan perubatan selepas merasmikan 6th National Paramedic Emergency Update Melaka 2024 (I-Premium) di Melaka. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM699 juta bagi pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak bersebelahan Hospital Melaka di sini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata bagaimanapun terdapat beberapa isu kecil berkaitan pentadbiran di peringkat kerajaan negeri perlu diselesaikan sebelum tender pembinaan fasiliti kesihatan itu dibuka.

"Saya akan mengambil langkah awal bersama Pengarah Kesihatan Melaka berbincang untuk memudah cara perkara-perkara dalam isu pentadbiran ini supaya dapat melancarkan pembinaan yang akan dikeluarkan tendernya oleh kerajaan Persekutuan tidak lama lagi.

"Pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak itu nanti akan beri manfaat besar untuk golongan sasar sekali gus mengurangkan kesesakan pesakit di Hospital Melaka," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan 6th National Paramedic Emergency Update Melaka 2024 (I-Premium) yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Dr Ruzita Mustaffa.

Dalam pada itu, Ab Rauf mencadangkan agar klinik desa di negeri itu turut menempatkan perkhidmatan Paramedik Komuniti Melaka agar bantuan kecemasan awal dan sokongan moral yang disediakan secara percuma oleh kerajaan negeri dapat disampaikan kepada rakyat.

Beliau berkata sehingga kini, 704 orang telah mendaftar untuk menyertai Paramedik Komuniti Melaka di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dengan 188 orang berjaya menjalani kursus paramedik tahap satu dan dua.

Bagaimanapun katanya daripada jumlah itu hanya 130 orang lulus dengan jayanya dalam kursus yang diselaraskan oleh Kementerian Kesihatan dan St John Ambulans tersebut.

"Saya yakin dan percaya, dengan mewujudkan Paramedik Komuniti di kampung dan kawasan pelancongan ini, sedikit sebanyak berupaya meringankan beban petugas kesihatan selain mampu menyelamatkan nyawa seseorang dengan lebih cepat," katanya.

Terdahulu, sebanyak 160 peserta dalam kalangan pengamal perubatan kecemasan, melibatkan 40 hospital dan klinik seluruh negara, menyertai simposium dua hari itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 9:25 PM