ZHIJIE meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menentang pemain Jepun.
ZHIJIE meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menentang pemain Jepun.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persatuan Perubatan Sukan Malaysia (MASM) dan Perhimpunan Doktor Pakar Perubatan Sukan (PDSKO) mengambil langkah proaktif dengan mengajak persatuan sukan serta atlet Malaysia untuk bekerjasama meningkatkan lagi pengetahuan berkenaan kesihatan jantung di dalam sukan.

Menurut kenyataan rasmi daripada MASM dan PDSKO, mereka yakin kerjasama itu bakal memberi kesedaran lebih awal kepada semua pihak terutama ketika berhadapan situasi getir dan secara tidak langsung mereka tahu melakukan tindakan susulan bagi mengelak sesuatu yang buruk terjadi.

Jelas dua organisasi itu lagi, kejadian serangan jantung menimpa pemain muda badminton China, Zhang Zhijie sehingga meninggal dunia ketika Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia minggu lalu perlu dipandang serius oleh semua pihak terutama atlet profesional.

"Kami menekankan perlunya usaha bersama untuk mencegah kematian tiba-tiba akibat masalah jantung dalam sukan. Kami mengajak organisasi sukan, jurulatih, atlet, dan profesional perubatan bekerjasama dalam melaksanakan program saringan menyeluruh sebelum penyertaan, termasuk penilaian jantung, untuk mengenal pasti individu yang berisiko mengalami masalah jantung.

"Kami mengesyorkan agar semua fasiliti sukan dan acara sukan mempunyai pelan tindakan kecemasan teratur untuk bertindak dengan cepat dan berkesan terhadap sebarang kecemasan perubatan, termasuk peristiwa kardiak tiba-tiba.

"Latihan seperti bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) dan adanya peranti defibrillator luaran automatik (AED, ia boleh membantu menyelamatkan nyawa atlet itu," katanya.

Tambah MAPM dan PDSKO, mereka akan terus bergerak secara aktif dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan masyarakat lebih cakna berkaitan isu masalah jantung itu sekali gus membolehkan orang ramai mengambil langkah awal sekiranya berlaku tanda-tanda ke arah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 10:06 PM