GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman dua lagi individu iaitu dua pengarah syarikat sub kontraktor, dipercayai terbabit rasuah bagi projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.

Menurut sumber, suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan antara 5 petang hingga 7 malam Selasa, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Mereka kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk permohonan reman, dengan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman selama lima hari hingga Ahad.

"Kedua-dua suspek merupakan pengarah daripada syarikat yang sama, disyaki memberi rasuah kepada pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja-kerja pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 9:06 PM