SOUTHGATE akan menamatkan kontraknya selepas Euro 2024. -FOTO AFP
SOUTHGATE akan menamatkan kontraknya selepas Euro 2024. -FOTO AFP
Agensi

London: Gareth Southgate memberi tahu kepada barisan pemain England bahawa: Mereka akan menangi Euro tahun depan.

Southgate mengatakan perkara itu selepas skuad itu berkumpul menjelang perlawanan kelayakan menentang Ukraine di Poland esok.

Bos Three Lions, Southgate berazam untuk menanamkan mentaliti kemenangan dalam diri pemainnya menjelang kejohanan itu selepas hampir terlepas pada edisi sebelum ini.

England mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018, perlawanan akhir Euro dan tumpas kepada Perancis dalam Piala Dunia tahun lalu di Qatar.

Kontrak Southgate akan tamat selepas Euro tahun depan dan ini berkemungkinan menjadi peluang terakhirnya untuk memenangi kejohanan besar.

Kapten Brighton, Lewis Dunk mendedahkan perubahan pemikiran dalam skuad England sejak kali terakhir berada dalam skuad pada 2018 dan juga mesej yang disampaikan Southgate kepada pemainnya di St George Park.

Dunk berkata: "Kami mengadakan pertemuan pada hari yang lain dan dia bercakap tentang memenangi Euro dan seluruh skuad memikirkan untuk memenangi Euro jadi saya akan katakan itu perubahan besar dalam mentaliti," katanya.

Sementara itu Southgate bersedia menaruh kepercayaan kepada Harry Maguire apabila mereka berdepan Ukraine.

Mimpi ngeri bek tengah itu di Manchester United berterusan apabila dia hanya tampil sekali untuk pasukan Erik ten Hag musim ini.

Dia diturunkan sebagai pemain gantian pada minit ke-67 ketika mereka tewas kepada Arsenal 1-3 Ahad lalu.

Biarpun dilanda kontroversi dia bersedia untuk kekal sebagai tonggak pertahanan England di Wroclaw, Poland selepas Southgate dihantui rentetan masalah kecederaan.

Maguire, 30, bermula untuk England pada Piala Dunia walaupun jarang bermain bersama United namun dia sedar dia boleh kehilangan tempat jika terus kekal di tepi padang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 8:44 AM