TOMMY memberi arahan kepada pemainnya pada aksi Piala Malaysia tahun lalu.
TOMMY memberi arahan kepada pemainnya pada aksi Piala Malaysia tahun lalu.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd menafikan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Menurut kenyataan kelab, berita yang tular hari ini dalam satu laman web adalah palsu kerana jurulatih kelahiran Croatia itu kini sedang mengendalikan latihan di Pusat Latihan TFC, Gong Badak.

"Berita yang tersebar menyatakan ketua jurulatih TFC, Steinbruckner meninggal dunia adalah palsu dan tidak benar sama sekali.

"Pada masa sama pihak pengurusan hairan bagaimana berita itu ditulis dan apa motif penulis berkenaan memuatkan berita itu.

"Ini kerana Tommy (Steinbruckner) pada petang ini sedang mengendalikan latihan di Gong Badak sebagai persediaan menjelang aksi suku akhir kedua menentang Sabah FC pada Sabtu ini.

"Kami begitu kesal dan berharap berita yang tidak tepat itu tidak berulang lagi selepas ini dan pada masa sama kami mengharapkan peminat tidak menularkan berita palsu itu.

"Ini bagi mengelak fokus barisan kejurulatihan serta pemain terjejas dalam misi mara ke separuh akhir saingan Piala FA selepas menang 4-0 pada aksi suku akhir pertama," demikian kenyataan itu.

Terdahulu tular berita sedih dalam satu laman web bertarikh 3 Julai 2024 menyatakan ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Dalam berita itu dimuatkan gambar sebuah kereta terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 9:36 PM