NKETIAH ledak dua gol bantu Arsenal mara. FOTO Reuters
NKETIAH ledak dua gol bantu Arsenal mara. FOTO Reuters
AFP

Oxford, United Kingdom: Eddie Nketiah meledak dua gol buat Arsenal untuk mara ke pusingan keempat Piala FA menentang Manchester City di tempat lawan selepas menewaskan pasukan divisyen ketiga Oxford United 3-0 awal pagi tadi.

Tandukan Mohamed Elneny membuka jaringan buat Arsenal di Stadium Kassam selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu gagal menjaringkan sebarang gol selepas lebih sejam beraksi.

Nketiah kemudiannya mengesahkan kemenangan buat Arsenal dan kini sudahpun menjaringkan empat gol sejak rehat Piala Dunia.

"Kami terpaksa meningkatkan tahap permainan kerana kami tidak cukup bagus pada separuh masa pertama dan saya rasa kami berjaya melakukannya pada separuh masa kedua."

"Ia bukan undian terbaik tapi kami bersedia untuk itu," kata Nketiah mengulas mengenai pertemuan menentang City.

Mikel Arteta menurunkan pasukan terkuatnya dengan menampilkan tiga penyerang pilihan selepas ketiadaan Gabriel Jesus dengan Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli mengapit Nketiah di bahagian serangan.

Arsenal menguasai permainan sebelum rehat namun bergelut untuk mencipta peluang dan jelas ia sangat mengecewakan apabila mereka tidak dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan ketika Elliott Moore menghalang Albert Sambi Lokonga.

Fabio Vieira salah seorang pemain yang jarang berada dalam kesebelasan utama Arteta, diberi peluang untuk menyinar dengan pemain Portugal itu mencipta aksi cemerlang selepas rehat dengan dua bantuan gol.

Tendangan percuma bekas pemain tengah Porto ditanduk Elneny untuk gol pertama pemain Mesir itu sejak 2021.

Nketiah kemudian terus menggunakan peluang selepas ketiadaan Jesus.

Penjaring terbanyak pasukan bawah 21 tahun England itu tenang mengatasi Edward McGinty hasil hantaran Vieira.

"Semua pemain mahu beraksi," kata Nketiah. "Saya bersyukur mendapat peluang itu dan hanya mahu terus membantu pasukan."

Nketiah menambah jaringan kedua apabila dia mengatasi McGinty selepas menerima hantaran Martinelli 14 minit sebelum tamat permainan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 7:43 AM