BERNAMA

Putrajaya: Pertikaian status agama bekas guru sekolah menengah yang meninggal dunia empat tahun lepas di hadapan Mahkamah Rayuan di sini telah diselesaikan secara baik.

Ini susulan perintah persetujuan yang direkodkan oleh mahkamah membabitkan keluarga B Raguram, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mahkamah Syariah Shah Alam dan Kerajaan Negeri Selangor bahawa jasad Raguram yang telah dikebumikan mengikut upacara Hindu tidak akan disemadikan semula mengikut upacara Islam.

Pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian itu, peguam A.Surendra Ananth yang mewakili M Rajeswary dan dua anak perempuannya, memaklumkan mahkamah bahawa kesemua pihak telah mencapai kata sepakat melalui perintah persetujuan.

Peguam Arham Rahimy Hariri yang mewakili MAIS dan Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Khairul Nizam Abu Bakar yang hadir bagi Mahkamah Syariah Shah Alam serta Kerajaan Negeri Selangor mengesahkan bahawa anak guam masing-masing bersetuju dengan terma-terma dalam perintah persetujuan itu.

Perintah persetujuan itu yang mengandungi tujuh terma turut dibacakan oleh Surendra dalam mahkamah antaranya balu serta kedua-dua anak Raguram mewarisi aset beliau selain gratuiti, emolumen, pencen dan faedah lain.

Terma lain jasad Raguram yang telah dikebumi tidak akan diganggu dan responden tidak akan menguatkuasakan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Shah Alam pada 21 Mei 2020 bagi membolehkan MAIS mendaftar serta mentadbir penukaran agama Raguram serta mengebumikan jenazahnya mengikut upacara Islam.

Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah itu selepas memutuskan Raguram beragama Islam ketika beliau meninggal dunia.

Terma lain balu dan anak-anak Raguram kekal beragama Hindu.

Datuk S Nantha Balan yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan berkata bagi merekodkan perintah persetujuan itu, rayuan Rajeswary dan kedua-dua anak perempuannya terpaksa ditarik balik dan dibatalkan terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada prosedur.

Beliau berkata justeru itu, rayuan mereka dibatalkan dan perintah persetujuan tersebut telah direkodkan.

"Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan toleransi kedua-dua pihak khususnya MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor serta peguam-peguam dalam mencapai penyelesaian ini," kata hakim itu.

Nantha Balan berkata tiada perkara yang mustahil dicapai dan rayuan melibatkan isu sensitif seperti ini juga boleh diselesaikan secara baik.

"Semoga penyelesaian yang dicapai pada hari ini akan menjadi aspirasi kepada pihak-pihak di masa depan untuk sentiasa mengutamakan pendekatan penyelesaian tanpa konfrontasi yang boleh dielak," katanya.

Turut bersidang Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing.

Pada 21 Mei 2020, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan perintah yang mengiystiharkan bahawa Raguram telah memeluk agama Islam pada 8 Nov 2012 dan sewaktu kematiannya, beliau adalah seorang Islam serta membenarkan MAIS mengambil langkah sewajarnya untuk mendaftar serta mentadbir penukaran agama Raguram serta mengebumikan beliau mengikut upacara Islam.

Balu dan dua anak perempuan Raguram kemudian memfailkan semakan kehakiman pada September 2020 di Mahkamah Tinggi sivil bagi mencabar perintah itu.

Mereka menamakan MAIS, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.

Mahkamah Tinggi pada November 2022 telah menolak semakan kehakiman mereka yang kemudian mengemukakan rayuan berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 8:34 PM