EDDE Nketiah diberi kepercayaan menyarung jersi no 14 Arsenal. FOTO REUTERS
EDDE Nketiah diberi kepercayaan menyarung jersi no 14 Arsenal. FOTO REUTERS
Reuters

London: Penyerang muda, Eddie Nketiah akan menyarung jersi ikonik Arsenal nombor 14, musim depan, selepas menandatangani kontrak jangka panjang, kata kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.

Pemain berusia 23 tahun itu menyertai Arsenal sebagai pemain remaja dan membuat 92 penampilan dan menjaringkan 23 gol bersama pasukan utama.

Bagaimanapun, hanya musim lalu Nketiah mencipta nama di jentera depan Arsenal apabila menjaringkan lima gol dalam lapan penampilan terakhir EPL.

Kontrak itu adalah ganjaran kepada prestasi cemerlangnya dan pemberian jersi nombor 14 yang pernah dipakai legenda kelab, Thierry Henry, menunjukkan kepercayaan pengurus, Mikel Arteta terhadap pemain muda itu.

Pemain lain yang pernah menggunakan jersi nombor 14 adalah Theo Walcott dan Pierre-Emerick Aubameyang.

"Saya gembira Eddie kekal bersama kami. Dia mewakili kemampuan kami dan semua nilai yang ada pada kelab ini," kata Arteta.

"Kami gembira dia menyambung kontrak dan kini kami perlu bekerja serta menyambung tugas membangunkan bakat muda yang ada padanya."

Nketiah yang menjadi sandaran di Arsenal susulan pemergian penyerang berpengalaman, Aubameyang dan Alexandre Lacazette, berharap dapat mengikut jejak rakan sepasukannya, Bukayo Saka dan Emile Smith Rowe dalam skuad England.

Dia belum dipanggil bersama skuad senior, tetapi penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad bawah-21 tahun England dengan 16 gol daripada 17 penampilan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 9:23 PM