TANGKAP layar video tular bapa memarahi guru sekolah agama kerana memotong rambut anaknya tanpa kebenaran.
TANGKAP layar video tular bapa memarahi guru sekolah agama kerana memotong rambut anaknya tanpa kebenaran.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Niat saya cuma satu iaitu mahu orang ramai menghormati guru. Sama ada dia guru sekolah kerajaan atau swasta."

Itu kata pemuda dikenali Furqan, 26, yang memuat naik video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang bapa mengamuk di hadapan sebuah sekolah agama, gara-gara rambut anaknya digunting tanpa keizinan.

Dia yang juga guru separuh masa di sebuah pusat tahfiz di Selangor berkata, kejadian itu berlaku pada November tahun lalu dan dikongsikan di media sosial pada Isnin lalu sebelum tular sejak semalam.

Menurutnya, tujuan asal video itu dimuat naik sebagai respons kepada pertanyaan orang ramai mengenai sebab dia berhenti menjadi guru sepenuh masa.

"Sejujurnya, saya muat naik video itu adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai terutama pelajar dan ibu bapa agar menghormati guru. Anak kita dapat ilmu daripada guru.

"Berdasarkan insiden itu, apa boleh dikatakan adalah semua masalah boleh diselesaikan tanpa membabitkan emosi. Kalau guna emosi, memang akan kalah teruk. Percayalah, kemenangan akan berpihak kepada yang tenang.

"Guru disiplin memang kena disiplinkan pelajar. Mana-mana guru pun tidak dapat untung apa-apa. Memang niat (guru) mahu mendidik," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, keputusan memuat naik video itu dibuat atas kesedaran dan tanggungjawabnya sendiri tanpa membabitkan mana-mana pihak sekolah.

"Saya sudah pun memadamkan video itu selepas mendapat pelbagai maklum balas. Cuma, saya berharap insiden itu dapat memberikan pengajaran kepada ibu bapa.

"Saya nak betulkan pemikiran ibu bapa yang mana, hanya kerana anak bersekolah di sekolah swasta, rasa hormat terhadap guru ditolak tepi. Itu tidak patut berlaku," katanya.

Terdahulu, video tular itu menunjukkan bapa mengamuk di hadapan sekolah agama gara-gara rambut anaknya digunting ustaz tanpa keizinan.

Difahamkan, guru itu berbuat demikian kerana pelajar terbabit melanggar peraturan dengan menyimpan rambut panjang.

Turut kedengaran ayat 'rambut panjang tak masuk neraka' didakwa disebut bapa pelajar itu ketika menengking guru berkenaan.

Insiden bapa mengamuk kerana rambut anak digunting guru mendukacitakan - Presiden KGMMB

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 9:23 PM