NKETIAH bintang masa depan England. FOTO Agensi
NKETIAH bintang masa depan England. FOTO Agensi
Agensi

London: Penyerang Arsenal, Eddie Nketiah berjaya menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk skuad bawah 21 (B-21) England selepas berjaya meledak gol ketika membantu negaranya mengalahkan Turkey 2-1 dalam kelayakan Euro B-21 hari ini.

Nketiah menjaringkan gol pada minit ke-88 dalam kelayakan Euro B-21 di Stadium Molineux, membolehkan England mendahului dengan kelebihan dua gol sebelum mereka mencatat kemenangan 2-1 selepas lawan meledakkan gol saguhati pada masa kecederaan.

Ia adalah gol ke-14 buat Nketiah untuk 'Young Lions' sekali gus dia berjaya melepasi rekod yang dikongsi selama ini bersama Alan Shearer dan Francis Jeffers.

"Ia sangat menakjubkan. Mengatasi rekod dan berada setaraf dengan mereka, bagaikan impian menjadi kenyataan. Ia adalah saat yang membanggakan buat saya dan keluarga," kata Nketiah.

Dengan kemenangan berkenaan, England, berjaya meraih slot peringkat kumpulan bagi saingan Euro B-21 tahun depan yang dianjurkan secara bersama oleh Hungary dan Slovenia.

Sebelum perlawanan, ketua jurulatih B-21 England, Aidy Boothroyd memberitahu bahawa Nketiah bakal menyinar pada masa akan datang, dengan melabelkan penyerang itu mempunyai aura seorang pemain bertanggungjawab dan memiliki daya kepimpinan.

"Tidak dapat disangkalkan lagi mengenai kemampuannya. Dia akan mencapai sesuatu yang lebih besar. Personaliti dan kemampuan yang dimiliki adalah disebabkan dia mempunyai sikap bertanggungjawab dan daya kepimpinan," kata Boothroyd.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 9:48 PM