CHE RASHID (kiri), antara tonggak penting Negeri Sembilan. -FOTO Ihsan FB NSFC.
CHE RASHID (kiri), antara tonggak penting Negeri Sembilan. -FOTO Ihsan FB NSFC.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Rekod pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang tidak pernah memihak kepada Negeri Sembilan FC (NSFC), tidak akan melemahkan keyakinan pemain pasukan itu menjelang aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 15 September ini.

Sebaliknya, pemain skuad Hobin Jang Hobin tetap bersemangat dan bertekad untuk terus berusaha meningkatkan prestasi serta kekuatan bagi menghadapi perlawanan yang dijangka sukar dan mencabar itu nanti.

Pemain pertahanan kanan NSFC, Che Rashid Che Halim berkata, dia dan rakan sepasukan sedar tentang kehebatan dan kelebihan JDT berdasarkan pencapaian mereka sepanjang mengharungi saingan Liga Malaysia (liga M) musim ini.

Menurutnya, hakikatnya memang ada jurang antara Negeri Sembilan dengan JDT, bukan sahaja dari segi senarai pemain import tetapi juga pemain tempatan.

"Kami ditakdirkan bertemu JDT pada peringkat suku akhir Piala Malaysia dan dalam keadaan apa sekali pun, kami kena hadapinya dengan yakin serta semangat yang tinggi.

"Jika melihat kepada rekod pertemuan lalu sememangnya ia aksi sukar dan untuk itu, kami perlu membuat persiapan terbaik bagi membolehkan kami dapat memberikan saingan yang baik.

"Kami akan cuba buat yang terbaik dengan harapan dapat membuka buku baharu dalam pertembungan itu nanti dengan mendapat keputusan yang membanggakan," katanya di sini, hari ini.

Che Rashid antara tonggak penting skuad Hobin Jang Hobin bimbingan K Devan, apabila sentiasa berada dalam barisan kesebelasan utama pasukan itu sepanjang saingan Liga Super musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 1:47 PM