CHE Rashid gesa pemain NSFC berikan komitmen 100 peratus pada aksi menentang JDT, Sabtu ini. FOTO IHSAN FB NSFC
CHE Rashid gesa pemain NSFC berikan komitmen 100 peratus pada aksi menentang JDT, Sabtu ini. FOTO IHSAN FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Meskipun dilihat mustahil untuk menyekat kemaraan Johor Darul Ta'zim (JDT), skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) tetap menjanjikan tentangan sengit pada pertembungan suku akhir kedua Piala Malaysia, di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Sabtu ini.

Skuad Hobin Jang Hobin akan turun dengan semangat juang tinggi bagi mempertahankan maruah pasukan itu.

Pemain pertahanan berpengalaman, Che Rashid Che Halim berkata, pasukannya tetap membuat persiapan rapi sama seperti sebelum ini bagi menghadapi pertembungan berkenaan.

"Kami sedar agak mustahil bagi kami untuk menafikan kehebatan dan peluang JDT untuk memenangi perlawanan kedua itu nanti dan seterusnya membawa mereka melangkah ke separuh akhir.

"Ini kerana selain mereka sudah memiliki kelebihan tiga gol hasil kemenangan di Paroi, aksi di laman sendiri hampir pasti akan memberikan kelebihan buat JDT.

"Apapun, kami akan tampil dengan persembahan terbaik dan memberikan tentangan habis-habisan dengan kekuatan dan keupayaan sebenar pada perlawanan Sabtu nanti," katanya di sini, hari ini.

Menurut Che Rashid, dia dan rakan-rakannya masih bersemangat untuk menentang pasukan bereputasi besar seperti JDT kerana perlawanan seperti itu boleh memberi impak positif kepada usaha memantapkan pasukan terutama dalam menghadapi cabaran saingan Liga Super yang akan bersambung selepas ini, walaupun buruan dalam Piala Malaysia dilihat mustahil.

Justeru katanya, pemain Negeri Sembilan perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap perlawanan suku akhir kedua itu nanti, dalam membantu memastikan usaha pasukan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga boleh dicapai sebaik saingan itu kembali bersambung kelak.

"Hakikatnya kita sukar untuk mengintai peluang ke separuh akhir Piala Malaysia, tapi perlawanan berdepan JDT itu nanti tetap penting dan memberi makna kepada setiap pemain dan pasukan dalam kita mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

"Saya yakin dan percaya setiap pemain yang akan diturunkan nanti akan memberikan sepenuh komitmen untuk mendapatkan keputusan positif sesuai dengan keupayaan dan kekuatan yang ada pada pasukan," katanya.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 13 September lalu, JDT menang 3-0 hasil jaringan Arif Aiman Hanapi dan Bergson Da Silva.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 2:50 PM