AZZMI ketua jurulatih NSFC.
AZZMI ketua jurulatih NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Taktikal diketengahkan pengendali baharu Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Ab Aziz ke dalam pasukan itu tidak menjadi halangan buat pemain menerimanya dengan baik.

Malah, hasil bimbingan pengendali terbabit sejak dua bulan lalu, kekuatan skuad Hobin Jang Hobin dilihat semakin memberangsangkan seperti diterjemahkan dalam beberapa aksi persahabatan.

Pemain pasukan itu melahirkan keyakinan untuk menterjemahkan taktikal dibawa Azzmi dalam perlawanan apabila bakal memulakan cabaran Liga Super musim ini menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri Johor Bahru, 18 Mei ini.

Perkara itu ditegaskan pemain berpengalaman skuad berkenaan, Che Rashid Che Halim, bahawa semua pemain pasukan itu sudah dapat menghadam taktikal baharu yang diketengahkan pengendali berusia 49 tahun itu.

"Setakat ini kami dapat memahami taktikal pasukan dan mengikutinya dengan baik apa diketengahkan ketua jurulatih saudara Azzmi, meskipun belum mencapai tahap 100 peratus, tetapi ia proses berterusan.

"Semua pemain akan terus bekerja keras untuk memastikan apa yang dimahukan Azzmi dapat diterjemahkan dalam permainan dan memastikan pasukan mampu bersaing dengan baik dan mantap," kata Che Rashid hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 10:06 PM