SKUAD Negeri Sembilan FC membuat persiapan rapi menjelang pertembungan menentang JDT. -FOTO Ihsan NSFC
SKUAD Negeri Sembilan FC membuat persiapan rapi menjelang pertembungan menentang JDT. -FOTO Ihsan NSFC
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Status pendatang baharu dalam saingan Liga Super musim ini membuatkan Negeri Sembilan FC (NSFC) amat menghormati Johor Darul Ta[zim (JDT) yang bakal ditemuinya pada pertembungan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Biarpun beraksi di laman dan hadapan penyokong sendiri, namun skuad NSFC amat sedar cabaran berhadapan skuad JDT bukan mudah kerana pasukan lawan itu memiliki reputasi besar dalam saingan Liga Malaysia.

Situasi itu ditegaskan Penolong Ketua Jurulatih NSFC, K Nanthakumar, yang menyifatkan tugas mencabar bakal dihadapi pemain skuad Hobin Jang Hobin dalam misi mempertahankan rekod baik dicapai setakat ini.

Katanya, pihaknya sedang membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan yang dijangka sengit dan sukar itu, bagi memastikan jentera pasukan serta setiap bahagian dalam pasukan berkenaan dapat berfungsi dengan baik dan berkesan.

"Kita buat persiapan yang sepatutnya kerana kita sedar perlawanan menentang JDT memerlukan komitmen lebih tinggi daripada setiap pemain dan saya yakin pemain juga sedar akan tugas serta cabaran yang bakal mereka hadapi nanti.

"Menyedari situasi itu, saya percaya pemain Negeri Sembilan akan turun dengan semangat yang baharu dalam usaha untuk mempertahankan rekod baik dicapai setakat ini dan sudah tentunya mahukan keputusan yang positif kerana beraksi di laman sendiri.

"Saya berharap mereka dapat bagi yang terbaik sepanjang tempoh 90 minit perlawanan itu nanti dan meneruskan momentum kemenangan untuk pasukan kekal dalam posisi yang baik dalam carta liga," katanya di sini, hari ini.

Nanthakumar berkata, tiada strategi luar biasa yang dirancang untuk berdepan dengan skuad bimbingan Benjamin Mora, kecuali mengingatkan anak buahnya agar fokus sepanjang perlawanan dan berusaha mengurangkan kesilapan yang boleh memberi ruang kepada pemain lawan mengambil kesempatan.

Bekas pemain kebangsaan itu juga mahu pemain Negeri Sembilan dapat bertindak bijak dengan memanfaatkan setiap peluang terbaik bagi menembusi gawang JDT.

"Jika setiap peluang jaringan dapat disempurnakan dengan baik, bukan mustahil keputusan positif boleh dicapai," katanya yang turut mengharapkan penyerang pasukan itu, Matheus Alves untuk terus memperagakan aksi mantap selepas dia meledak gol kemenangan NSFC ketika menentang Sarawak United, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 2:09 PM