CHE Rashid mahu terus bersama NSFC musim depan.
CHE Rashid mahu terus bersama NSFC musim depan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pemain pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC) Che Rashid Che Halim berharap sumbangannya dalam membantu pasukan itu menamatkan saingan di tangga kesembilan Liga Super musim 2023 memberi peluang untuknya terus kekal bersama pasukan terbabit musim 2024.

Tonggak berpengalaman berusia 28 tahun itu mengikat kontrak bersama NSFC selama dua tahun (satu tahun pilihan) sudah menyatakan hasrat secara lisan untuk terus menyumbang khidmat dengan skuad Hobin Jang Hobin musim depan.

"Memandangkan kontrak saya bersama NSFC adalah 1+1, secara peribadi ingin terus bersama kelab ini untuk musim depan. Saya berharap sumbangan terbaik kepada pasukan selama dua musim menjadi kriteria untuk kekal bersama pasukan ini musim depan.

"Namun, setakat ini belum ada keputusan daripada pihak kelab mengenai kedudukan pemain bagi musim baharu," katanya di sini, hari ini.

Che Rashid yang mula menyertai Negeri Sembilan pada musim 2021 dan membantu pasukan itu menjulang kejuaraan Liga Perdana musim berkenaan, adalah antara tonggak penting dalam pasukan bimbingan K Devan itu apabila diturunkan hampir keseluruhan perlawanan sama ada dalam Liga Super, Piala FA mahupun saingan Piala Malaysia.

Pemain berasal dari Johor itu yang sudah beraksi hampir 200 perlawanan sejak 10 tahun lalu, akui serasi dengan Negeri Sembilan, walaupun sedar dijangka berlaku banyak perubahan daripada setiap pasukan yang bersaing dalam Liga M.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 9:37 PM