PEMAIN TFC perlu tingkatkan kualiti permainan menjelang aksi Piala AFC pada 20 September ini. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN TFC perlu tingkatkan kualiti permainan menjelang aksi Piala AFC pada 20 September ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd menuntut barisan kejurulatihan skuad Terengganu FC (TFC) agar dapat meningkatkan lagi mutu permainan pasukan terutama menjelang aksi Piala AFC yang berbaki 20 hari sahaja lagi.

Peringatan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh yang meletakkan kepercayaan yang tinggi dibahu pengendalinya, Tomislav Steinbruckner bagi memacu pasukan agar lebih berdaya saing di pentas Asia itu.

Jelasnya, kejayaan melangkah ke saingan itu adalah satu pencapaian yang begitu membanggakan terutama selepas pemain kempunan beraksi pada 2021 apabila kejohanan itu terpaksa dibatalkan berikutan wabak pandemik Covid-19.

TFC yang muncul naib juara Liga Super musim lalu diundi dalam Kumpulan G bersama juara Liga Australia musim lalu, Central Coast Mariners, juara Liga Satu Indonesia, Bali United dan bekas juara Divisyen Satu Filipina, Stallion Laguna FC.

"Semua pasukan yang menghuni dalam Kumpulan G boleh dikatakan seimbang dan masing-masing mempunyai kekuatannya yang tersendiri biarpun atas kertas kelab dari Australia itu dilihat lebih kuat.

"Justeru bagi memastikan pasukan kita mampu menyajikan aksi lebih bertenaga, kami mengharapkan barisan kejurulatihan agar dapat menerapkan idea dan strategi terbaik serta memperbaiki kelemahan untuk menempatkan diri ke peringkat seterusnya.

"Buat pemain, mereka juga perlu berusaha lebih gigih bagi meningkatkan lagi kualiti permainan selain mengambil peluang terhidang beraksi di pentas tertinggi itu dengan aksi yang meyakinkan dan bertenaga," kata Ab Rasid.

TFC bakal membuat perhitungan pertama menentang kelab Australia itu pada 20 September ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebelum terbang ke Indonesia bertemu kelab Bali United di Stadium Kapten 1 Wayan Dipta Gianyar, Bali pada 4 Oktober depan.

Berdasarkan peraturan, juara setiap tiga kumpulan dari Zon Asean dan satu naib juara terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir Zon Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 2:08 PM