REDZOVIC tengah) idam cipta sejarah bersama pasukannya dalam saingan Piala AFC musim ini. FOTO GHAZALI KORI
REDZOVIC tengah) idam cipta sejarah bersama pasukannya dalam saingan Piala AFC musim ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertahanan Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic mahu mencipta sejarah bersama skuad itu dalam saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) sebelum bergelar pemain naturalisasi.

Jelas bek tengah kelahiran Montenegro itu, dia harap impian itu menjadi kenyataan lebih-lebih lagi bakal membuat penampilan pertama di pentas Asia selepas TFC kempunan beraksi pada 2021 kerana kejohanan itu terpaksa dibatalkan berikutan wabak pandemik Covid-19.

Pemain yang hampir enam tahun beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) itu juga tekad untuk mempertahankan kubunya daripada dibolosi tiga pasukan terbaik dalam kumpulannya.

Terdahulu, naib juara Liga Super musim lalu itu diundi dalam Kumpulan G bersama juara Liga Australia musim lalu, Central Coast Mariners, juara Liga Satu Indonesia 2021-2022 Bali United dan bekas juara Divisyen Satu Filipina, Stallion Laguna FC.

"Tiada yang mustahil untuk kami melangkah lebih jauh dalam setiap pertandingan kerana sukan ini adalah permainan berpasukan, namun saya meramalkan laluan berliku bakal dihadapi kami untuk melangkah ke separuh akhir kerana diundi dalam kumpulan 'maut'.

"Tapi kami tidak akan beri laluan mudah, saya pasti ia memberi cabaran lagi hebat buat kami, saya yakin kami mampu memberikan saingan terbaik untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala AFC ini kerana aksi liga dan piala itu adalah pentas yang berbeza.

"Pada masa sama secara peribadi saya tekad untuk melakar sejarah pertama bersama TFC dan juga kepada peminat setia yang sentiasa menyokong kami, malah jika kami mara ia juga mungkin sejarah buat Malaysia selepas kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL FC) sebelum ini," kata pemain berusia 31 tahun itu yang sudah empat musim bersama TFC.

TFC bakal membuat perhitungan pertama menentang kelab Australia itu pada 20 September ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebelum terbang ke Stadium Kapten 1 Wayan Dipta Gianyar Bali menentang Bali United pada 4 Oktober depan.

"Saya harap perlawanan pertama menentang kelab Australia itu nanti akan dibanjiri ramai peminat setia skuad TFC bagi menyuntik semangat kami untuk memburu mata, harap ia menjadi kenyataan," kata Redzovic yang masih menunggu 'lesen' menjadi pemain naturalisasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 1:46 PM