Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh
Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh mengingatkan pemain TFC agar tidak dibuai mimpi indah sebaliknya terus berusaha gigih dalam misi meloloskan diri ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke final Piala Malaysia musim ini.

Katanya, walaupun skuad Penyu sudah melayakkan diri ke peringkat suku akhir dan lebih manis dinobatkan sebagai juara Kumpulan B, perjalanan pasukan masih berliku.

"Sudah pasti saya rasa gembira kerana bukan sahaja pasukan TFC layak ke peringkat suku akhir malah berjaya menjadi juara kumpulan.

"Namun begitu, perjalanan kita masih lagi jauh dan berliku selain lebih mencabar kerana pasukan yang kalah di suku akhir akan tercicir pada aksi kalah mati itu.

"Walau bagaimanapun, tahniah saya ucapkan kepada pihak pengurusan pasukan, barisan kejurulatihan, pegawai, peminat dan juga pihak berkepentingan dan seterusnya pemain yang telah memberi komitmen dan kesungguhan yang baik dan padu dengan semangat kesukanan yang tinggi secara berterusan bagi memastikan kemenangan dalam setiap perlawanan.

"Harapan saya semua pemain dapat mengekalkan momentum ini dan harus meningkatkan lagi motivasi diri bagi menjamin kesinambungan kemenangan di peringkat yang lebih mencabar bagi memastikan pasukan TFC layak ke peringkat separuh akhir dan final.

"Saya yakin dan percaya dengan jumlah pemain yang ada, taktikal yang betul, kualiti latihan yang baik, pengurusan yang cekap serta sokongan padu penyokong, pasukan TFC boleh pergi lebih jauh lagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

TFC yang mengungguli carta kumpulan mencatat keputusan bersih dengan merakam lima kemenangan untuk mengutip 15 mata, aksi terakhir menentang Kuching City FC (KCFC) pada 10 November ini boleh dianggap pelengkap jadual.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 1:28 PM