PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner perlu bijak merencana strategi berdepan wakil Australia dalam saingan Piala AFC malam esok. FOTO GHAZALI KORI
PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner perlu bijak merencana strategi berdepan wakil Australia dalam saingan Piala AFC malam esok. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pihak pengurusan Terengganu FC (TFC) menuntut ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner agar lebih bijak merencana strategi berdepan kelab Australia, Central Coast Mariners pada aksi pertama Kumpulan G saingan Piala AFC, malam esok.

Beraksi di tempat sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pihak pengurusan juga menuntut pemain agar dapat memperagakan aksi terbaik biarpun sedar juara Liga Australia musim lalu itu begitu liat untuk ditewaskan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh akui anak buahnya bakal berdepan laluan berliku untuk melakar kemenangan lebih-lebih lagi pengendali skuad lawan, Abbas Saad tidak asing lagi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) kerana pernah menyarung jersi pasukan Johor selama dua musim bermula 1991.

Bagaimanapun jelasnya, beraksi di tempat sendiri selain motivasi tinggi pemain selepas menumpaskan Selangor FC 2-0 pada Sabtu lalu dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia sedikit sebanyak bakal melonjakkan lagi semangat dan prestasi pemain.

"Kami sedar pasukan yang bakal ditentang pada aksi pertama dalam peringkat kumpulan bukan calang-calang pasukan, mereka adalah juara Liga Australia musim lalu selain dipimpin bekas pemain tengah menyerang pasukan Johor.

"Namun pasukan kami tidak akan sesekali menyerah sebelum bertempur, pemain akan sentiasa memberi saingan sengit tanpa mengira pasukan lawan biarpun padat dengan jadual perlawanan termasuk saingan Piala Malaysia dan Liga Super.

"Malah barisan kejurulatihan yang diketuai Tommy (Steinbruckner) juga sudah membuat analisis berkaitan dengan pasukan lawan, bagaimanapun kami meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada barisan kejurulatihan agar dapat menerapkan strategi lebih ampuh dan perancangan yang berstruktur bagi menghadapi perlawanan itu dan akan datang.

"Buat pemain pula, mereka perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan mampu memperagakan aksi terbaik dengan mengikut perancangan barisan jurulatih," katanya yang mengharapkan peminat setia terutama di Pantai Timur dapat hadir ke stadium untuk memberikan sokongan padu kepada wakil Malaysia beraksi di pentas Asia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 11:21 AM