Orang ramai terutamanya umat Islam membeli pelbagai barangan keperluan sebagai persiapan menjelang sambutan perayaan Aidiladha di Pasar Chow Kit hari ini. FOTO BERNAMA
Orang ramai terutamanya umat Islam membeli pelbagai barangan keperluan sebagai persiapan menjelang sambutan perayaan Aidiladha di Pasar Chow Kit hari ini. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Beberapa sayur-sayuran didakwa mengalami kenaikan di ibu negara berikutan bekalan yang kurang dan faktor cuaca.

Antara sayur-sayuran yang mengalami kenaikan adalah kacang panjang, tomato, kacang botol, salad, kubis dan daun sup.

Peniaga sayur, Suhaili Mohd Ali, 52, berkata kacang panjang dijual pada harga RM10 sekilogram kira-kira sebulan lalu, tetapi kini naik ke RM12 sekilogram.

"Selain kacang panjang, tomato juga naik harga daripada RM4 ke RM8 sekilogram. Kacang botol turut naik mendadak sebanyak RM20 sekilogram berbanding sebelum ini harganya RM8 sekilogram.

"Kubis pula naik daripada RM3 ke RM6 sekilogram. Semua sayur-sayuran ini naik sejak sebulan yang lalu.

"Manakala sayur yang naik bermula dua minggu lalu pula adalah salad. Sebelum ini harganya RM10, tetapi naik sehingga ke RM20 sekilogram," katanya ketika ditemui di Pasar Chow Kit, hari ini.

Katanya, antara faktor kenaikan harga sayur-sayuran ini disebabkan kekurangan bekalan di pasaran.

"Bila kurang, harganya akan naik. Selain faktor stok, cuaca (tidak menentu) juga menyebabkan harga sayur ini naik," katanya.

Peniaga lain yang mahu dikenali sebagai Awee, 63, pula menyatakan daun sup yang dijualnya mengalami peningkatan harga mendadak.

"Daun sup sahaja yang naik dan mahal. Dua hari lalu, harga daun sup ini naik daripada RM10 ke RM22 sekilogram.

"Itu sahaja sayur yang saya jual mengalami kenaikan mendadak. Yang lain okay.

"Faktor kenaikannya pula disebabkan daun sup ini sukar untuk diperolehi, disebabkan itu ia mengalami kenaikan harga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 1:50 PM