NAZARI berpengalaman luas di peringkat antarabangsa.
NAZARI berpengalaman luas di peringkat antarabangsa.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas kerap menjadi pemain gantian, 'arkitek' Terengganu FC (TFC), Omid Nazari tekad mahu merebut kesebelasan utama pasukannya menjelang saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) yang bakal membuka tirainya pada 20 September ini.

Jelas pemain berusia 32 tahun kelahiran Sweden yang mendapat taraf kerakyatan Filipina itu, dia mahu membuktikan kehadirannya dalam skuad TFC benar-benar memberi impak positif buat pasukannya.

Malah pemain berpengalaman luas beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah bersama kelab Malmo FF fi Liga Sweden itu juga mahu menjadi watak penting bagi membantu TFC melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir saingan piala kedua paling berprestij di Asia itu.

Justeru, pemain berketinggian 1.85m yang pernah beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama kelab Filipina, United City FC sebelum ini tekad mahu membalas kepercayaan barisan kejurulatihan jika disenaraikan dalam kesebelasan utama pada aksi pertama nanti.

TFC yang muncul naib juara Liga Super musim lalu bakal membuat perhitungan pertama menentang juara Liga Australia musim lalu, Central Coast Mariners di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebelum terbang ke Indonesia bertemu kelab Bali United di Stadium Kapten 1 Wayan Dipta Gianyar Bali pada 4 Oktober depan.

Selain dua kelab itu, TFC yang diundi dalam Kumpulan G bakal melayani pasukan dari Filipina, Stallion Laguna FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak pada 26 Oktober depan pada aksi pusingan pertama.

"Walaupun bakal berdepan bekas juara Liga Australia musim lalu pada aksi pertama, ianya begitu bagus buat kami untuk membuktikan TFC juga mampu bersaing hebat di pentas Asia.

"Malah kami juga mempunyai pemain tempatan dan import yang bagus dan berkualiti, tambahan pula kami juga mempunyai 'pemain ke-12' yang begitu ramai dalam setiap perlawanan sekali gus mampu menyuntik semangat kami ketika beraksi pada perlawanan pertama nanti.

"Justeru secara peribadi saya tekad untuk mengintai peluang berada dalam kesebelasan utama, lagipun saingan Piala AFC ini kejohanan tertinggi dan ia memberi peluang kepada setiap pemain membuktikan kemampuan masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 2:32 PM