STEINBRUCKNER (kiri) bersama pemain sayap TFC, Sony Norde pada sidang media, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
STEINBRUCKNER (kiri) bersama pemain sayap TFC, Sony Norde pada sidang media, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menuntut anak buahnya agar melupakan episod duka Jumaat lalu, sebaliknya mengintai peluang ke peringkat separuh akhir saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

TFC yang tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di final Piala Malaysia, Jumaat lalu, bakal melayan kunjungan kelab Indonesia, Bali United pada aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, 8 malam esok.

Jurulatih kelahiran Croatia itu bakal melakukan rombakan selepas beberapa pemain cedera dan mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada dengan taktikal lawan yang pastinya hadir untuk melakar kemenangan.

"Peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala AFC masih terbuka buat TFC dan saya jangkakan perlawanan sengit, lagipun dalam tiga bulan ini mereka (Bali United) mendapat keputusan yang baik dalam liga mereka dengan menduduki tempat kedua.

"Namun saya percaya dengan kekuatan pemain walaupun ada antara mereka cedera termasuk Muhammad Azam Azmi Murad dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili.

"Semua perlawanan penting dan kami mahu kekalkan rekod tanpa kalah dalam kumpulan," katanya pada sidang media menjelang perlawanan keenam peringkat kumpulan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, hari ini.

Steinbruckner yang dikekalkan membimbing TFC pada musim depan mengakui pasukannya memiliki kelebihan selaku tuan rumah biarpun terikat 1-1 pada aksi pertama di tempat lawan.

"Atas kertas kami nampak selesa untuk menang, lagipun pemain mahu menebus kehampaan gagal merangkul Piala Malaysia Jumaat lalu, namun kami tidak akan sesekali mengambil mudah kerana sebarang kesilapan akan mengundang padah.

"Setiap perlawanan ada tekanannya, namun ia normal, kami perlu atasinya dalam misi mengutip tiga mata," katanya.

TFC yang mengumpul sembilan mata kini di tempat kedua kumpulan di belakang pendahulu, Central Coast Mariners yang berkelebihan satu mata manakala Bali United di tempat ketiga dengan tujuh mata dan kelab Filipina, Stallion Laguna FC tercorot dengan satu mata hasil lima perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 5:11 PM