PEMAIN Terengganu FC, Omid Nazari (kiri) diasak pemain Selangor FC, Quentin Cheng pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam, FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN Terengganu FC, Omid Nazari (kiri) diasak pemain Selangor FC, Quentin Cheng pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam, FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Football Club Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh yang bakal melepaskan jawatannya daripada memimpin Terengganu FC (TFC) mulai esok menitipkan pesanan terakhir buat pemain skuad Penyu.

TFC yang mengejutkan kelab Australia, Central Coast Mariners 1-0 pada aksi pertama Kumpulan G saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pada 20 September lalu bakal bertandang ke Stadium Kapten 1 Wayan Dipta Gianyar, Bali menentang kelab Bali United dalam aksi kedua pada 4 Oktober ini.

Jelas Ab Rasid, beliau percaya ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner atau 'Tommy' bijak merencana strategi bagi memastikan skuad Penyu tidak pulang dengan tangan kosong biarpun akui bukan mudah untuk menjinakkan skuad dari negara jiran itu.

Katanya, kemenangan pada aksi pertama peringkat kumpulan sudah pasti bakal menyemarakkan lagi semangat pemain untuk mengutip tiga mata sekali gus mengintai peluang menghuni di tangga teratas peringkat kumpulan.

"Semua pasukan yang layak ke peringkat ini mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing, seandainya kelebihan itu digunakan dengan sebaiknya dan segera memperbaiki segala kelemahan yang ada serta bijak merencana taktikal dan strategi, maka peluang untuk TFC menang adalah cerah.

"Ketua jurulatih perlu bijak menyerap situasi melalui pengalaman yang ada biarpun TFC menempuhi jadual perlawanan yang padat terutama bergelut dengan perlawanan yang berintensiti tinggi termasuk saingan Piala Malaysia di samping Liga Super serta Piala AFC sekali gus menyebabkan pemain tidak cukup rehat dan berisiko mengalami kecederaan.

"TFC sedar bahawa pasukan yang bakal di tentang pada aksi kedua Piala AFC tidak boleh diambil mudah selepas bahagian kejurulatihan membuat analisis berkaitan pasukan lawan.

"Bagaimanapun, pasukan TFC akan sentiasa memberi saingan sengit tanpa mengira pasukan lawan biarpun padat dengan jadual perlawanan di mana pasukan TFC telah menghadapi dua saingan peringkat suku akhir Piala Malaysia dan berjaya layak se peringkat separuh akhir setelah menyingkir Selangor FC dan akan menentang KL City.

"Justeru, pihak kami amat berharap semoga barisan kejurulatihan yang telah membuat perancangan yang terancang dan berstruktur bagi menghadapi perlawanan berkenaan akan menjadi kenyataan seperti perancangan dan para pemain pula perlu sentiasa dalam keadaan bersedia serta teruskan kecemerlangan anda demi pasukan negeri dan negara.

"Buat penyokong, berilah sokongan yang padu kepada pasukan kesayangan mereka bertarung di peringkat antarabangsa dan tempatan, harapan semua warga Terengganu agar dapat meneruskan legasi untuk memburu kemenangan dalam setiap perlawanan, semoga pasukan TFC terus cemerlang," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 7:03 PM