NOOR Azman Rahman. FOTO Bernama
NOOR Azman Rahman. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memantau pembelian dan penjualan lesen jurulatih membabitkan pengendali tempatan bagi mengelak disalah guna oleh pihak tertentu.

Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman berkata, pihaknya sebelum ini mendapatkan maklumat terdapat dua pasukan yang didapati menggunakan nama pengendali lain untuk didaftarkan sebagai jurulatih pada musim lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati dua pasukan berkenaan berbuat demikian berikutan menukar jurulatih pada penghujung musim saingan liga sekali gus menyebabkan mereka kesuntukan masa untuk mencari pengendali yang memiliki lesen Pro-A.

"Saya sahkan sudah menerima laporan daripada Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B Satiananthan dan isu ini sudah dibawa ke jawatankuasa teknikal untuk dibincangkan.

"Pada musim ini, saya melihat ada satu pasukan melakukan kesalahan itu dan kita serahkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengambil tindakan susulan.

"FAM sentiasa memandang serius perkara ini (pembelian dan penjualan lesen) dan berharap pasukan Liga Malaysia (Liga M) mematuhi arahan yang sudah ditetapkan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Satiananthan mengesahkan sudah membawa perkara itu ke jawatankuasa teknikal FAM untuk tindakan susulan.

Sathia berkata, isu berkenaan akan terus diperjuangkan bagi memastikan ketelusan membabitkan barisan kejurulatihan pasukan Liga M walaupun dilihat agak sensitif oleh sesetengah pihak.

Selain itu, Sathia juga pernah mendedahkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga pasukan Liga M menggunakan khidmat jurulatih boneka untuk mengendalikan skuad masing-masing pada musim 2023.

Jurulatih boneka ini sanggup 'menjual lesen' mereka dengan mendaftar sebagai pengendali pasukan terbabit namun hakikatnya skuad itu dikendalikan oleh individu lain yang tidak memiliki lesen Pro-A seperti yang disyaratkan oleh MFL.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 1:16 PM