PETRONELLA  dilantik ketua jurulatih Malayan Tigress B-17. FOTO  FB Jelani Hamdan
PETRONELLA dilantik ketua jurulatih Malayan Tigress B-17. FOTO FB Jelani Hamdan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) bangga di atas pelantikan penolong ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita Sabah, Petronella Douny sebagai ketua jurulatih Malayan Tigress B-17.

Setiausaha Agung Safa, Datuk Dr Jelani Hamdan berkata Petronella, 36, yang berasal dari Tamparuli, antara jurulatih bertauliah yang berjaya dilahirkan badan induk bola sepak Sabah itu menerusi program pembangunan bola sepak Sabah.

Katanya, ketika ini Petronella satu-satunya jurulatih bola sepak wanita di negara ini yang memiliki Lesen A Kejurulatihan dari Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Tahniah kepada Petronella Douny atas pelantikan sebagai ketua jurulatih Malayan Tigress B-17. Beliau satu-satunya jurulatih wanita memiliki Lesen Kejurulatihan AFC/FAM A.

"Beliau juga bertindak sebagai penolong ketua jurulatih skuad wanita Sabah pada masa ini," katanya mengulas pelantikan Petronella yang diumumkan FAM hari ini.

Jelani berkata, sebagai badan induk bola sepak Sabah, Safa memainkan peranan penting dalam pembangunan menyeluruh bola sepak negeri, termasuk melahirkan jurulatih bertauliah untuk pasukan lelaki dan wanita.

Katanya, selain Petronella, Safa turut menghantar dan membiayai bekas ketua jurulatih Sabah, Jellius Ating untuk mengikuti kursus kejurulatihan AFC PRO DIPLOMA atau lebih dikenali sebagai Pro-A.

Bagi rancangan jangka panjang, katanya Safa tjuga mewujudkan Akademi Bola Sepak Safa yang dilancarkan di peringkat negeri, baru-baru ini sebelum dikembangkan di peringkat zon seluruh Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 3:20 PM