NATANAEL ketika beraksi bersama Kelantan pada 2021. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
NATANAEL ketika beraksi bersama Kelantan pada 2021. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Nasib Kelantan FC semakin parah apabila pasukan itu perlu membayar tuntutan tunggakan gaji membabitkan bekas pemainnya Natanael Siringoringo.

Natanael yang juga pemain berasal dari Indonesia membuat tuntutan menerusi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) pada September tahun lalu kerana tidak dibayar gaji oleh kelab yang dimiliki Norizam Tukiman atau Zamsaham itu.

Ejen Natanael iaitu 2Touch International ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan situasi terbabit dan Kelantan FC perlu membayar tuntutan tunggakan gaji seperti yang dinyatakan Fifa bagi mengelak dikenakan tindakan susulan.

"Betul, Natanael menang tuntutan tunggakan gaji selepas pemain membawa kes berkenaan ke Fifa tahun lalu.

"Jika diikutkan Kelantan FC perlu membayar RM300,000 namun mujur Natanael sudah mempunyai kelab sekali gus dikurangkan kepada RM100,000," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Keputusan terbabit sekali gus memberi tamparan kepada Kelantan FC yang kini bergelut untuk memperoleh Lesen Kebangsaan bagi membolehkan pasukan itu beraksi pada musim 2024.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa Kelantan FC gagal memperoleh Lesen Kebangsaan, namun diberi peluang untuk membuat rayuan.

Pasukan yang berpengkalan di timur tanah air itu didakwa gagal melengkapkan dua kriteria kewangan dibawah sub kriteria F.04 dan F.11.

Mengikut rekod, Bekas pengendali Kelantan FC, Choi Moon-sik turut berjaya memenangi kes tuntutan Fifa yang ditujukan kepada bekas majikannya pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 6:03 PM