GRIMMIUS dan Baas antara peminat Belanda yang tidak memilih hotel sebagai tempat penginapan. FOTO Reuters
GRIMMIUS dan Baas antara peminat Belanda yang tidak memilih hotel sebagai tempat penginapan. FOTO Reuters
Reuters

Berlin: Semakin dekat dengan perlawanan suku akhir Euro 2024 antara Belanda dan Turkiye, ramai peminat Belanda memilih untuk tidak menginap di hotel berdekatan pusat bandar Berlin.

Sebaliknya, mereka lebih gemar menikmati kehidupan lebih santai berkhemah di pinggir bandar.

Di Kleinmachnow, hanya 25 minit pemanduan dari Olympiastadion Berlin, penyokong 'Oranje' menikmati secawan kopi di luar karavan mereka di waktu pagi berhampiran kawasan perkhemahan sambil menantikan kehadiran peminat lain.

"Ini adalah percutian buat kami. Kami sudah berada di jalanan hampir tiga minggu, dan kami berharap untuk melanjutkan hingga empat setengah minggu," kata Gert Grimmius kepada Reuters di luar karavan.

Grimmius, bersama rakan baiknya Fienus Baas dan isteri mereka yakin Belanda mampu mengatasi Turkiye dan memanjangkan perjalanan mereka.

Mereka turut menikmati peluang untuk bertemu dengan peminat lain di kawasan berkenaan.

"Inilah sebahagian daripada sukan, bergaul satu sama lain... di kem, anda berinteraksi secara semula jadi, berbual-bual," jelas Grimmius, yang berusia 71 tahun.

"Kami (Belanda) dianggap sebagai antara 18 juta jurulatih pasukan kebangsaan, setiap orang ada pendapat mereka, tetapi pada akhirnya, 'sahabat' kami Koeman yang memutuskan," tambahnya.

Memiliki pengalaman mengikuti pasukan Belanda selama beberapa dekad, Grimmius mengimbau kenangan ketika dia hadir di final Euro 88 di Munich, di mana Belanda menewaskan Soviet Union 2-0.

Ramai peminat Turki dijangka datang dari kawasan tempatan, kawasan perkhemahan di sekitar Berlin bersedia untuk menyambut kedatangan peminat Belanda menjelang perlawanan penting Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 9:05 PM