B Satiananthan. -FOTO NSTP
B Satiananthan. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) mengenalpasti sekurang-kurangnya tiga pasukan Liga Malaysia (Liga M) menggunakan khidmat jurulatih boneka untuk mengendalikan skuad masing-masing pada musim 2023.

Jurulatih boneka ini sanggup 'menjual lesen' mereka dengan mendaftar sebagai pengendali pasukan terbabit namun hakikatnya skuad itu dikendalikan oleh individu lain yang tidak memiliki lesen Pro-A seperti yang disyaratkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Situasi sama turut berlaku membabitkan Liga M3 apabila terdapat jurulatih tempatan yang bertindak menjual lesen mereka bagi membolehkan pasukan tertentu melantik pengendali asing sekali gus melanggar garis panduan ditetapkan Liga Bolasepak Amatur (AFL).

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B Satiananthan berkata, tiga pasukan itu masing-masing membabitkan dua daripada Liga M3 manakala satu lagi beraksi di Liga Super.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengingatkan jurulatih tempatan supaya tidak meletakkan harga diri terlalu murah dengan menjual lesen mereka untuk dimanipulasikan pihak lain.

"Seperti yang kita terima laporan bahawa terdapat ada jurulatih tempatan menerima tawaran kelab tertentu sebagai ketua jurulatih namun sebaliknya berlaku apabila pengendali asing memainkan peranan terbabit.

"Janganlah pengendali tempatan menjadi boneka apabila tugasan seperti latihan dan susunan pemain dilakukan jurulatih asing sekali gus melanggar syarat ditetapkan AFL.

"PJBM memang ada menerima laporan namun tidak boleh mengambil tindakan. Situasi ini saya salahkan kedua-dua pihak iaitu pengurusan pasukan dan jurulatih itu," katanya, ketika ditemui pada sidang media Kongres Tahunan PJBM 2022 Bagi Penggal 2018-2022, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Sathia menasihati jurulatih tempatan supaya tidak termakan tawaran kelab untuk melantik mereka sebagai pengendali boneka pada musim depan.

"Perkara ini harus ditangani segera supaya idak menjadi ikutan pasukan lain hingga menjejaskan kualiti bola sepak tanah air.

"Tanggungjawab ini harus di pikul jurulatih tempatan kerana mereka memainkan peranan penting dengan tidak sewenang-wenangnya menjual lesen mereka untuk menjadi pengendali boneka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 1:01 PM