PASUKAN Imigresen FC ceria selepas muncul juara Liga M3 2023. -FOTO Ihsan FB Imigresen FC.
PASUKAN Imigresen FC ceria selepas muncul juara Liga M3 2023. -FOTO Ihsan FB Imigresen FC.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengendali Imigresen FC, Mat Zan Mat Aris akur andai tidak lagi berpeluang untuk membimbing pasukan itu sekiranya pihak pengurusan memilih bersaing dalam Liga Super, musim depan.

Bekas pengendali Negeri Sembilan itu berkata, beliau tidak mempunyai lesen kejurulatihan Pro-A sekali gus membataskannya membimbing skuad itu.

"Jika pihak pengurusan Imigresen FC membuat keputusan untuk bersaing dalam Liga Super musim depan, saya terpaksa mencari haluan lain untuk meneruskan bidang kejurulatihan kerana tidak mempunyai kelayakan atau lesen kejurulatihan ditetapkan.

"Tak boleh (bawa pasukan di Liga Super), sebab jurulatih Liga Super kena ada lesen Pro-A. Jika Imigresen ke Liga Super, saya kena cari pasukan lain," kata Mat Zan.

Pengendali berpengalaman itu bagaimanapun, berpuas hati dengan sumbangan diberikan terhadap kelab terbabit sehingga berjaya menjulang kejuaraan Liga M3 atau Liga Kejuaraan MBSB Bank 2023, musim ini.

"Alhamdulillah, itu sumbangan yang kita boleh berikan atas tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh pengurusan kelab terbabit.

"Namun kejayaan itu bukan mudah dicapai sebaliknya adalah hasil kerja keras serta komitmen tinggi pihak pengurusan kelab dan pemain," katanya.

Terdahulu, Imigresen membawa pulang hadiah kemenangan RM100,000 selepas menjulang kejuaraan Liga M3 musim ini sekali gus layak secara merit ke saingan Liga Super musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 12:12 PM