PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO NSTP
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak pernah buat tak kisah membabitkan kemelut atau isu yang melanda Kelantan FC sejak kebelakangan ini.

Malah, FAM juga mengharapkan pemain dan kakitangan Kelantan FC yang menghadapi masalah dengan Kelantan FC supaya tampil membuat aduan kepada badan induk bola sepak negara itu untuk tindakan susulan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, setiap aduan akan diteliti oleh jawatankuasa yang sepatutnya dan beliau selaku presiden badan induk itu tidak mahu menjatuhkan hukum secara melulu.

"Kelantan FC, saya ingat MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) tahu dan kita pun memahami beberapa isu yang terjadi. Pihak undang-undang saya (FAM) dan MFL serta pihak Zamsaham (pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman) pun sudah berhubung.

"Kita akan lihat selepas ini kerana saya tahu benda ini ada berlaku tetapi kita tunggu nanti, kita tengah separuh liga dan saya tidak mahu menjatuhkan hukum tanpa keputusan daripada jawatankuasa yang sepatutnya.

"Saya tidak mahu berikan pandangan (tentang pemain Kelantan FC berdepan tekanan dan makian), biar perkara itu dibawa dalam jawatankuasa yang sepatutnya, biar dia (jawatankuasa terbabit) buat keputusan.

"Sesiapa yang tidak berpuas hati boleh buat aduan dan selepas itu, kita akan teliti. Saya tidak boleh kata ya atau tidak tetapi saya sedia maklum mengenai isu membabitkan Kelantan FC," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro, pemain Kelantan didakwa hidup dalam tekanan apabila dihimpit dengan komitmen bulanan ekoran kegagalan mendapatkan gaji penuh setiap bulan.

Situasi itu nyata menekan pemain Kelantan FC atau The Red Warrior (TRW) pada setiap hujung bulan yang terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup, malah ada di antara mereka kehilangan kereta selepas ditarik oleh pihak bank.

Untuk rekod, sebelum ini Kelantan FC sudah diheret ke Fifa selepas ejen terkenal Asia, Myeongho Jeong membuat aduan rasmi berhubung penganiayaan pengurusan TRW ke atas bekas jurulatih pasukan itu ke atas pengendali dari Korea Selatan, Choi Moon Sik, pada April lalu.

Selain itu difahamkan, Kelantan FC juga berdepan hukuman denda selepas skuad Piala Presiden pasukan itu gagal hadir ketika aksi berdepan Perak minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 1:09 PM