SATHIANANTHAN mendedahkan sekurang-kurangnya tiga pasukan Liga M menggunakan khidmat jurulatih boneka. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
SATHIANANTHAN mendedahkan sekurang-kurangnya tiga pasukan Liga M menggunakan khidmat jurulatih boneka. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B Satiananthan mengesahkan isu pembelian dan penjualan lesen jurulatih membabitkan pengendali tempatan sudah dibawa ke jawatankuasa teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan susulan.

Sathiananthan berkata, isu berkenaan akan terus diperjuangkan bagi memastikan ketelusan membabitkan barisan kejurulatihan pasukan Liga Malaysia (Liga M) walaupun dilihat agak sensitif oleh sesetengah pihak.

"Kami bercakap mengenai beberapa jurulatih yang dilihat menggunakan nama pengendali tempatan untuk menguruskan pasukan. Situasi ini sukar dibendung dan kelab juga perlu bertanggungjawab terhadap isu berkenaan.

"Sebagai contoh, seseorang bernama X didaftarkan sebagai jurulatih namun hakikatnya individu bernama Y mengendali dan menguruskan pasukan.

"Encik X menjual dirinya, dijadikan sebagai boneka kerana jika keputusan kelab tidak memihak kepadanya maka beliau akan dipecat," katanya.

Sebelum ini, Sathiananthan mendedahkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga pasukan Liga M menggunakan khidmat jurulatih boneka untuk mengendalikan skuad masing-masing pada musim 2023.

Jurulatih boneka ini sanggup 'menjual lesen' mereka dengan mendaftar sebagai pengendali pasukan terbabit namun hakikatnya skuad itu dikendalikan oleh individu lain yang tidak memiliki lesen Pro-A seperti yang disyaratkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Situasi sama turut berlaku membabitkan Liga M3 apabila terdapat jurulatih tempatan yang bertindak menjual lesen mereka bagi membolehkan pasukan tertentu melantik pengendali asing sekali gus melanggar garis panduan ditetapkan Liga Bolasepak Amatur (AFL).

Selain itu, Sathiananthan menjelaskan bahawa isu terbabit pada awalnya timbul membabitkan kelab Liga M3 namun kini turut melanda pasukan tertentu Liga Super membabitkan dua jurulatih tempatan.

"Kami sedang menunggu tindakan lanjut satu pasukan membabitkan Liga Super walaupun MFL dan FAM melihat semuanya berjalan lancar namun sebenarnya masih lagi timbul persoalan siapa sebenarnya pengendali untuk skuad utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 2:28 PM