BEKAS pengendali Harimau Malaya B Sathianathan. -FOTO NSTP
BEKAS pengendali Harimau Malaya B Sathianathan. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika tak dapat pingat emas 'mati' kena maki.

Itu sindiran sinis bekas pengendali Harimau Malaya B Sathianathan terhadap keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan kelab menunda perlawanan untuk memberi laluan kepada skuad Bawah 23 (B-23) membariskan pemain terbaik mereka ke temasya Sukan Sea di Hanoi, Vietnam.

Sathia berkata, ketika ini situasi bola sepak negara lebih dikuasai oleh netizen yang akan bertindak keterlaluan dengan maki atau 'menyerang' kelab, jurulatih dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika pasukan negara gagal memperoleh keputusan positif atau membawa pulang pingat emas.

Beliau berkata, walaupun perlawanan bola sepak di Sukan Sea berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) namun keputusan menghantar barisan pemain terbaik ke temasya dwi tahunan terbabit adalah tepat.

"Bagus untuk negara apabila Maloney menyenaraikan barisan pemain terbaik. Saya nak bertanya adakah netizen bersetuju jika Maloney tidak mendapat kesebelasan pemain terbaik untuk dibawa ke Sukan Sea itu.

"Apa yang boleh saya katakan, jika tak dapat pingat emas kena maki. Beliau (Maloney) pun risau jika tidak dapat bawa apa-apa apabila ke Sukan Sea.

"Situasi sekarang bukannya saya mahu kata berkaitan FAM (menyebelahi FAM) namun situasi adalah bola sepak dikawal oleh netizen," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan kebimbangan barisan kejurulatihan skuad bawah B-23 negara susulan keengganan beberapa kelab melepaskan pemain akhirnya terlerai apabila jadual perlawanan Liga M akan dipinda.

Ia disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam apabila mengesahkan akan meminda jadual aksi dari minggu ketujuh hingga ke-10 membabitkan kempen Liga Super musim ini.

Katanya, ia bagi memberi laluan kepada persiapan skuad B-23 dengan meminda sekurang-kurangnya enam perlawanan Liga Super itu bagi membolehkan skuad kendalian Brad Maloney menyertai latihan pusat serta temasya Sukan Sea di Vietnam bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 2:25 PM