PEMAIN AC Milan meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan. FOTO AP
PEMAIN AC Milan meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan. FOTO AP
AFP

Milan: AC Milan bangkit daripada kekalahan di Chelsea dengan menewaskan Juventus 2-0 awal pagi tadi sekali gus menyamakan pungutan mata dengan pendahulu Serie A Napoli.

Juara Itali, Milan tetap berbisa di sebalik kelesuan dalam saingan Eropah apabila menewaskan musuh ketat Juve di San Siro hasil jaringan Fikayo Tomori dan Brahim Diaz pada kedua-dua babak perlawanan.

"Kami hambar di London, hari ini kami lebih garang dan bekerja sebagai satu pasukan. Ini yang kami perlu lakukan dalam setiap perlawanan," kata Pioli.

Skuad Stefano Pioli terikat 20 mata dengan Napoli dan juga Atalanta yang akan berkunjung ke Udinese hari ini dan berpeluang menjarakkan kedudukan.

Milan di tangga ketiga selepas mempamerkan aksi cemerlang yang menyuntik keyakinan mereka menjelang pertembungan balas dendam dengan Chelsea pada aksi Liga Juara-Juara (UCL awal pagi Rabu ini.

Bagi Juve, ia satu lagi prestasi buruk selepas kekalahan kedua dalam saingan liga musim ini yang meletakkan mereka di tangga kelapan dengan tujuh mata di belakang tiga pasukan teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 9:17 AM