LEAO (kanan) meledak gol ketiga Milan di masa kecederaan. FOTO AFP
LEAO (kanan) meledak gol ketiga Milan di masa kecederaan. FOTO AFP
Reuters

Milan: AC Milan meraih kemenangan dramatik 3-1 ke atas Empoli dalam saingan Serie A tatkala tiga gol perlawanan itu dijaringkan pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Milan bermula dengan agresif dan mengekalkan intensiti tinggi pada separuh masa pertama namun beberapa peluang terhidang gagal untuk menumpaskan penjaga gol Empoli, Guglielmo Vicario.

Masalah kecederaan terus menghantui pengurus Milan, Stefano Pioli apabila pemain sayap, Alexis Saelemaekers perlu dikeluarkan pada minit ke-33.

Tiga minit kemudian, pertahanan kanan, Davide Calabria juga terpaksa diusung keluar akibat kecederaan.

Masalah yang sama berlaku kepada Simon Kjaer juga perlu meninggalkan padang pada minit ke-73 kerana kecederaan.

"Calabria dan Kjaer mengalami kecederaan di bahagian otot. Kecederaan Calabria kelihatan agak serius. Saelemaekers pula terseliuh di bahagian ligamen, kita tengok nanti apa keputusan ujian," kata Pioli.

Ante Rebic berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-79 selepas melepaskan rembatan hasil hantaran cantik Rafael Leao.

Nedim Bajrami menyangkakan dia berjaya menyelamatkan Empoli menerusi gol penyamaan pada dua minit selepas masa kecederaan berjalan untuk memberikan kegembiraan buat penyokong sendiri.

Bagaimanapun, Fode Ballo-Toure kembali mengubah kedudukan dua minit kemudian selepas menanduk masuk hantaran Rade Krunic.

Leao memastikan kemenangan Milan apabila meledak gol ketiga selepas tujuh minit masa kecederaan apabila melambungkan bola melepasi Vicario.

Kemenangan itu membolehkan Milan melonjak ke tangga ketiga dengan mengumpul 17 mata, kurang tiga mata di belakang pendahulu, Napoli.

Napoli kekal di tangga teratas selepas mengalahkan Torino 3-1 hasil gol sulung Andre-Frank Zambo Anguissa di Serie A.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 10:01 AM