PENYERANG AC Milan, Zlatan Ibrahimovic (tengah) menerima cabaran daripada Ronaldo. FOTO AFP
PENYERANG AC Milan, Zlatan Ibrahimovic (tengah) menerima cabaran daripada Ronaldo. FOTO AFP
AFP

Milan: AC Milan menyingkirkan Juventus dari kelompok empat terbaik Serie A apabila melakar kemenangan 3-0 di Turin hari ini sekali gus mencerahkan harapan mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2014.

Brahim Diaz meletakkan Milan di depan sebelum berakhir babak pertama dengan Anton Rebic dan Fikayo Tomori menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua selepas Franck Kessie gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Milan naik di tangga ketiga, berkongsi 72 mata bersama Atalanta di tempat kedua manakala Napoli ketinggalan dua mata di tempat keempat, kedudukan terakhir untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Juventus kini menduduki tempat kelima, ketinggalan satu mata berbanding Napoli dengan berbaki tiga perlawanan lagi termasuk pertemuan dengan Inter Milan yang baru dinobatkan selaku juara liga.

"Kemenangan ke atas lawan utama pada ketika ini adalah sangat penting," kata jurulatih Milan Stefano Pioli yang menyaksikan skuad bimbingannya tewas 1-3 kepada Juve di San Siro, Januari lalu.

"Kami perlu terus bersaing. Tapi saya mempunyai barisan pemain sangat muda yang semakin menunjukkan kematangan."

Jurulatih Juventus, Andrea Pirlo tidak mempunyai jawapan apa sebenarnya yang berlaku dan penyerang sensasi mereka, Cristiano Ronaldo gagal menambah gol selepas muncul penjaring terbanyak Serie A setakat ini dengan 27 gol.

"Kami bermula dengan baik tetapi kemudian tidak konsisten. Sukar untuk saya jelaskan.

"Apabila anda tewas 0-3 pada perlawanan yang sangat penting, ia bermakna banyak lagi perkara tidak menjadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 7:55 AM