PEMAIN Manchester City menjulang trofi dan meraikan kejayaan mengekalkan gelaran Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP
PEMAIN Manchester City menjulang trofi dan meraikan kejayaan mengekalkan gelaran Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP
AFP

Manchester: Pep Guardiola berkata, pemain Manchester City yang menjuarai Liga Perdana Inggeris adalah legenda yang akan dikenang sepanjang masa selepas mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-2 ke atas Aston Villa dan mengesahkan gelaran pada hari terakhir musim.

Anak buah Guardiola dilihat mungkin terlepas gelaran kepada pasukan di tangga kedua, Liverpool apabila Villa membuat kejutan dengan mendahului 2-0 sehingga babak kedua di Stadium Etihad.

Bagaimanapun, Guardiola membawa masuk pemain tengah Jerman, Ilkay Gundogan dan dia mencipta kebangkitan apabila City menjaringkan tiga gol dalam tempoh lima minit di hujung perlawanan.

Gundogan menjaringkan gol pertama City dan gol kemenangan poda minit ke-81 selepas Rodri menjaringkan gol penyamaan 2-2.

Kebangkitan menakjubkan itu memberikan gelaran keempat buat City dalam tempoh lima musim apabila mereka menamatkan saingan satu mata di hadapan Liverpool, sekali gus meranapkan impian mencipta sejarah merangkul empat gelaran.

Hanya Manchester United ketika era Alex Ferguson memenangi gelaran sebanyak itu dalam tempoh lima tahun.

Malah, Guardiola percaya peasukannya berhak diiktiraf sebagai antara paling hebat dalam sejarah bola sepak Inggeris.

"Mereka adalah legenda. Apabila anda menang empat kali dalam lima tahun di negara ini, ia adalah kerana pemain ini memang istimewa. Mereka akan dikenang sepanjang zaman," kata Guardiola.

Guardiola mengakui ia adalah petang yang mendebarkan sebelum anak buahnya mengatasi kebimbangan itu dan mengekalkan gelaran dengan persembahan dramatik.

"Perlawanan terakhir ini sangat istimewa. Penuh emosi apabila menentang pasukan Aston Villa yang bagus. Kami tidak bermain dalam situasi biasa. Kami mampu menanganinya," katanya.

"Selepas lawan menjaringkan gol kedua, keadaan makin sukar. Kami mahu mendapatkan gol pertama dan kami meneruskan momentum sebelum pemain melakukannya dengan baik sekali.

"Gundo adalah pelari terbaik yang kami miliki. Selepas menyamakan kedudukan, kami yakin mampu menjaringkan gol lagi. Memang di tempat sendiri dan di depan penonton adalah sesuatu yang sangat indah."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 8:19 AM