DE Bruyne (kiri) meraikan jaringan ketiganya. FOTO AFP
DE Bruyne (kiri) meraikan jaringan ketiganya. FOTO AFP
AFP

London: Kevin De Bruyne meledak empat gol ketika Manchester City membelasah Wolves 5-1 hari ini untuk mendahului tiga mata di puncak Liga Perdana.

City sebelum itu menyaksikan Liverpool mengekori tapat di tempat kedua apabila berkongsi mata selepas menang 2-1 di Aston Villa.

Tetapi persembahan cemerlang De Bruyne memastikan pasukan bimbingan Pep Guardiola kekal mengungguli tangga teratas ketika saingan merebut kejuaraan liga semakin berakhir.

Selepas De Bruyne meletakkan City di hadapan pada minit ke-7 hasil hantaran Bernardo Silva, pendahulu liga itu dikejutkan seketika dengan jaringan penyamaan Leander Dendoncker empat minit kemudian.

Tetapi De Bruyne memadamkan harapan Wolves untuk menang apabila melengkapkan hatrik dengan dua lagi gol menarik minit ke-16 dan ke-24.

Dia menjaringkan gol keempatnya dari jarak dekat pada minit ke-60 dan Raheem Sterling menyumbat gol kelima minit ke-85.

City kini hanya memerlukan empat mata daripada dua perlawanan terakhir mereka untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana keempat dalam lima musim terakhir.

Guardiola memberikan pujian kepada De Bruyne apabila berkata: "Dia sukar dihalang, cemerlang, hebat, luar biasa dan sempurna!

"Dia mempunyai keupayaan untuk mencipta perkara yang istimewa. Dia perlu menjaringkan gol dan musim ini adalah aksinya yang paling cemerlang sejak bersama kami."

Jika City boleh menang di West Ham pada Ahad ini, mereka akan memiliki kelebihan enam mata di hadapan Liverpool sebelum skuad bimbingan Jurgen Klopp beraksi di Southampton pada Rabu.

"Jika kami memenangi perlawanan ini kami akan menjadi juara. Sekarang pemain akan melalui proses pemulihan dan fokus pada perlawanan seterusnya bertemu West Ham," kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 6:47 AM