PEMAIN Manchester City berarak dengan trofi bagi meraikan kejayaan mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris. FOTO REUTERS
PEMAIN Manchester City berarak dengan trofi bagi meraikan kejayaan mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris. FOTO REUTERS
AFP

Manchester: Pep Guardiola secara berjenaka mengatakan kebangkitan Manchester City daripada ketinggalan 0-2 sebelum menang 3-2 ke atas Aston Villa untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris adalah sebahagian daripada perancangannya.

Pada ketika mereka perlu menang berikutan Liverpool mengekori rapat dan hanya ketinggalan satu mata, City ketinggalan 0-2 ketika perlawanan berbaki 15 minit sebelum tiga gol dalam masa lebih lima minit menggemparkan Stadium Etihad.

Guardiola mengotakan janjinya apabila menghisap cerut di atas pentas selepas mereka berarak dengan trofi di sekitar kota Manchester, semalam.

City kini memiliki empat gelaran dalam lima tahun terakhir di bawah Guardiola dan yang keenam dalam 11 musim terakhir.

"Memang perancangan begitu, 0-2, tenang dan sabar," kata Guardiola sambil ketawa.

"Selepas kami menjaringkan gol, ia adalah malam yang hebat. "Semua orang tahu apa yang berlaku adalah pencapaian menakjubkan. Ini adalah liga paling sukar, dalam enam tahun sejak kami tiba, kami menang empat kali.

"Kegembiraan di wajah semua adalah hadiah paling hebat yang kami perolehi."

Walaupun menguasai saingan domestik, kejayaan dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah masih tidak mampu digapai City walaupun berbelanja besar.

Tersingkir di separuh akhir di tangan Real Madrid, awal bulan ini hampir menjejaskan impian mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris, namun mereka bangkit memperoleh 10 mata daripada empat perlawanan terakhir.

"Wujud tekanan dan kekecewaan pada bulan lalu selepas tewas kepada Madrid dan banyak perlawanan sukar.

"Kami tidak pernah mengalah dan kami berbangga dengan kumpulan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 8:09 AM