GAYA Foden menjaringkan gol ketiga City ketika menentang Brighton. FOTO AFP
GAYA Foden menjaringkan gol ketiga City ketika menentang Brighton. FOTO AFP
Reuters

Brighton, England: Phil Foden menjaringkan dua gol ketika Manchester City terus mengukuhkan peluang untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) kali keempat berturut-turut selepas menang besar 4-0 di Brighton & Hove Albion, awal pagi tadi.

Sehari selepas cabaran Liverpool memburu gelaran tampak berakhir dengan kekalahan 0-2 di Everton, City meningkatkan tekanan ke atas pendahulu Arsenal dengan prestasi memukau.

Mereka kini hanya satu mata di belakang kelab London itu dengan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

"Hakikatnya ialah tiga mata," kata pengurus City Pep Guardiola kepada Sky Sports. "Ada lima perlawanan lagi, kami tahu jurangnya terlalu kecil. Kami perlu menang setiap daripadanya dan setiap perlawanan sangat rapat."

Dia menambah persaingan masih membabitkan tiga pasukan. "Apa berlaku kepada Liverpool, dua kekalahan berturut-turut boleh berlaku kepada Arsenal, boleh juga ke atas kami," kata Guardiola. "Apa yang lebih penting, kami masih di sana dan banyak lagi aksi perlu diharungi."

Tandukan kencang Kevin De Bruyne meletakkan City yang beraksi tanpa Erling Haaland akibat kecederaan di depan pada minit ke-17.

Foden menambah gol kedua hasil sepakan percuma yang terkena lawan manakala kesilapan pertahanan Brighton membolehkan Bernardo Silva merampas bola dan menghantar kepada pemain tengah England itu yang disudahkan dengan rembatan ke penjuru gawang lawan sebelum rehat.

Julian Alvarez melengkapkan kemenangan bergaya pada pertengahan babak kedua untuk menamatkan perjuangan Brighton yang kekal di tangga ke-11.

Manchester City kini tidak tewas 30 perlawanan dalam semua kejohanan dengan 24 kemenangan dan enam seri menjadikan mereka kelab Inggeris ketiga mencipta pencapaian itu selepas Nottingham Forest (40 pada 1978) dan Manchester United (34 pada 1993-94 and 33 pada 1998-99).

Kekalahan terakhir mereka di tangan Aston Villa pada awal Disember. City akan berkunjung ke Nottingham Forest pada Ahad ini dan akan menentang Wolverhampton Wanderers, Fulham, Tottenham Hotspur dan West Ham United dalam misi memburu gelaran liga keempat berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 7:18 AM