GUARDIOLA ketika perlawanan Manchester City menentang Aston Villa baru-baru ini. FOTO AFP
GUARDIOLA ketika perlawanan Manchester City menentang Aston Villa baru-baru ini. FOTO AFP
AFP

PEP Guardiola berkata beliau bencikan perkataan ‘merungut’ dan tidak akan mengecam pemain Manchester City selepas kekalahan.

Namun beliau tidak takut untuk meluahnya ketika juara Liga Perdana Inggeris itu memenangi perlawanan, seperti yang dilakukannya ketika mereka menang 3-0 ke atas Aston Villa Sabtu lalu.

Jurulatih Sepanyol berusia 48 tahun itu yang pasukannya ketinggalan enam mata berbanding pendahulu Liverpool berkata beliau lebih suka mendiamkan diri selepas kekalahan.

Bagaimanapun beliau meluahkan kekecewaannya terhadap aksi City pada separuh masa pertama ke atas Villa yang hanya tiga mata di atas zon penyingkiran.

Jaringan daripada Raheem Sterling, David Silva dan Ilkay Gundogan pada sepauh masa kedua memastikan tiga mata selepas Guardiola naik angin mengenai perlawanan separuh masa pertama.

“Jika kami bermain seperti pada separuh masa pertama, kami akan tersingkir atau berada dalam kelompok penyingkiran.

“Satu perkataan yang saya benci adalah ‘merungut’, jadi biasanya apabila saya katakan sesuatu yang buruk ia adalah selepas kemenangan. Saya tidak akan katakannya selepas kekalahan.

“Kami dihukum dengan beberapa kekalahan dan saya menutup mulut. Saya tidak kata apa-apa, apa yang berlaku itulah dia.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 8:26 PM