PEMAIN tengah Manchester City, Ilkay Gundogan menjaringkan gol ketiga pasukannya untuk mengekalkan gelaran Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP
PEMAIN tengah Manchester City, Ilkay Gundogan menjaringkan gol ketiga pasukannya untuk mengekalkan gelaran Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP
AFP

Manchester: Ilkay Gundogan memuji kejayaan menakjubkan Manchester City memenangi Liga Perdana Inggeris apabila pemain tengah Jerman itu masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan dua gol dan bangkit mengatasi Aston Villa, 3-2, malam tadi.

Anak buah Pep Guardiola berdepan bahaya terlepas gelaran apabila ketinggalan dua gol di Stadium Etihad pada ketika kemenangan ke atas Wolves akan membolehkan Liverpool merampas trofi.

Bagaimanapun, Gundogan mengesahkan status sebagai super sub City apabila merapatkan jurang menjadikan kedudukan 1-2 pada minit ke-76.

Selepas Rodri menyamakan kedudukan 2-2, Gundogan mencipta nama dalam buku sejarah City apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81 hasil hantaran lintang Kevin De Bruyne.

City muncul juara dengan satu mata di depan Liverpool, yang menang 3-1 ke atas Wolves, dan Gundogan mengakui hampir hilang kata-kata selepas kebangkitan dramatik itu.

"Ia adalah perlawanan yang sukar dipercayai," kata Gundogan.

"Kami adalah manusia dan apabila ketinggalan 0-2, peluang semakin tipis. Tetapi, kami melakukan perkara mudah iaitu menjaringkan dua gol pantas dan memiliki baki 10 minit lagi untuk menjaringkan gol ketiga yang juga gol kemenangan.

"Ia berkaitan usaha memburu jaringan dan momentum bersama kami apabila menjaringan tiga gol dalam masa beberapa minit saja. Ia adalah hari apabila anda mengimbasnya semula sebagai perlawanan yang sukar dipercayai dan menakjubkan."

Gundogan berterima kasih kepada pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, yang membimbingnya di Borussia Dortmund, dan pasukan itu menekan City sebelum kempunan untuk mencipta sejarah merangkul empat kejuaraan.

Liverpool ketinggalan 14 mata di belakang City pada Januari lalu, namun jaringan dramatik Gundogan pada saat akhir menyaksikan the Reds gagal merampas gelaran.

"Saya sedar ia sukar diungkapkan, tetapi jika Liverpool tidak bermain dan menekan kami, bermain bola sepak menakjubkan dan berjaya, saya tidak fikir liga ini akan menarik serta penuh kejutan," kata Gundogan.

"Walaupun mereka menamatkan musim di bawah kami, saya fikir mereka mengharungi musim yang dahsyat. Kami saling menekan satu sama lain hingga ke kemuncak."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 8:34 AM