PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp (kiri) bersalaman dengan pemainnya selepas gagal merampas gelaran Liga Perdana Inggeris walaupun menang 3-1 ke atas Wolves.
PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp (kiri) bersalaman dengan pemainnya selepas gagal merampas gelaran Liga Perdana Inggeris walaupun menang 3-1 ke atas Wolves.
AFP

Liverpool: Jurgen Klopp mengakui kegagalan menyakitkan Liverpool yang kempunan untuk merampas gelaran Liga Perdana Inggeris adalah 'kisah hidup saya' apabila mereka sekali lagi menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Manchester City.

Anak buah Klopp dilihat sangat hampir memenangi gelaran dalam tempoh beberapa minit di Anfield ketika mereka memburu gol kemenangan ke atas Wolves manakala City ketinggalan 0-2 di belakang Aston Villa.

Tetapi, dalam kesudahan pemburuan gelaran dramatik, City menjaringkan tiga gol di hujung perlawanan untuk menang 3-2 dan mengekalkan trofi dengan kelebihan satu mata di depan Liverpool.

Kemenangan 3-1 ke atas Wolves tidak bermakna menyebabkan Klopp sekali lagi kempunan dan gagal merampas gelaran daripada skuad Pep Guardiola buat kali kedua.

City mengatasi Liverpool ketika perebutan gelaran pada 2019 dan Klopp pernah mengalami kekecewaan apabila gagal layak ke Bundesliga pada hari terakhir ketika menjadi pengurus Mainz.

"Tahniah kepada Man City dan Pep Guardiola. Terima kasih kepada Aston Villa dan Wolverhampton kerana memberikan saingan sebenar," kata Klopp.

"Ia bukan keputusan yang kami mahu, ia turun naik. Saya tidak tahu keputusan sebenar, tetapi saya tahu Villa mendahului 1-0 dan kemudian 2-0. Sudah tentu, ada kekecewaan di sini.

"92 mata memang menakjubkan. Kami mahu semua, tetapi kini, ia OK.

"Menamatkan musim di tempat kedua adalah kisah hidup saya. Saya masih memegang rekod di Jerman apabila tidak mendapat kenaikan walaupun mengumpul mata terbanyak. Anda perlu mendapatkan lebih banyak mata berbanding pasukan lain, tetapi kami tidak melakukannya."

Di sebalik kegagalan itu, Klopp membawa Liverpool memenangi Piala FA serta Piala Liga dan boleh memenangi trofi ketiga musim ini jika menewaskan Real Madrid di final Liga Juara-Juara Eropah di Paris, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 10:17 AM