BEKAS bintang Brazil, Cafu menunjukkan kertas tertera nama Brazil pada majlis undian Piala Dunia. FOTO AFP
BEKAS bintang Brazil, Cafu menunjukkan kertas tertera nama Brazil pada majlis undian Piala Dunia. FOTO AFP
AFP

Doha: Jurulatih Brazil, Tite gembira diundi dalam Kumpulan G pada kempen Piala Dunia kerana ia memberi lebih banyak masa kepada pasukannya untuk membuat persediaan.

Piala Dunia akan bermula 21 November dengan tuan rumah, Qatar menentang Ecuador.

Perlawanan pertama Brazil akan diadakan tiga hari kemudian menentang Serbia, sebelum aksi seterusnya menentang Switzerland dan Cameroon.

"Apa sahaja masa yang anda miliki bersama pemain dan ketika latihan, ia adalah satu kelebihan," kata Tite.

Ia biasanya dianggap lebih baik untuk memulakan kejohanan lebih awal kerana memberi pasukan lebih masa sekiranya berjaya melangkah lebih jauh.

Meskipun di atas kertas juara dunia lima kali itu adalah pasukan pilihan, Tite menegaskan bahawa lawan mereka layak dahulu berbanding pasukan pilihan.

"Kami bercakap mengenai penyingkiran Itali dan Portugal di tangan Switzerland dan Serbia masing-masing di peringkat kumpulan Eropah di mana hanya pemenang kumpulan layak secara automatik," kata Tite kepada saluran Brazil SportTV.

Brazil tidak pernah bertemu pasukan Eropah sejak menewaskan Republik Czech 3-1 pada aksi persahabatan Mac 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 8:25 AM