PEMAIN Brazil ketika sesi latihan. FOTO Reuters
PEMAIN Brazil ketika sesi latihan. FOTO Reuters
AFP

Doha: Jurulatih Brazil, Tite dijangka mengikut jejak langkah Perancis merehatkan pemain utama pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia bertemu Cameroon, Sabtu ini ketika mereka sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir.

Pasukan pilihan itu akan bertemu Cameroon di Stadium Lusail dan hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan juara Kumpulan G selepas melakar kemenangan ke atas Serbia dan Switzerland.

Keputusan Perancis merehatkan hampir kebanyakan pemain utama tidak berhasil apabila juara bertahan itu tewas 0-1 kepada Tunisia pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

"Saya hanya menilai pemain berdasarkan kepada apa yang mereka lakukan di atas padang. Ia memang berisiko tetapi inilah peluang untuk pemain muda menunjukkan kemampuan mereka," kata Tite.

Brazil masih tanpa Neymar dan bek kanan, Danilo, di mana kedua-duanya mengalami kecederaan buku lali, manakala bek kiri, Alex Sandro juga diketepikan.

Tite juga dijangka merehatkan pemain seperti penjaga gol, Alisson Becker, pemain pertahanan tengah, Thiago Silva, Marquinhos, Casemiro, Lucas Paqueta, Vinicius Junior dan Richarlison ketika menentang Cameroon yang perlu menang untuk menghidupkan peluang mara.

Antara pemain yang bakal diberi peluang beraksi ialah penjaga gol Manchester City, Ederson, pemain tengah Liverpool, Fabinho dan bek kanan veteran, Dani Alves.

Keputusan untuk menyenaraikan Alves yang berusia 39 tahun, yang membuat penampilan sulung antarabangsa pada 2006, ke dalam skuad itu dikritik beberapa pihak di Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 11:59 PM