AKSI Raphinha pada sesi latihan FOTO EPA
AKSI Raphinha pada sesi latihan FOTO EPA
Reuters

Doha: Brazil tetap tampil dengan corak permainan menyerang apabila bertemu Serbia pada perlawanan pembukaan Piala Dunia tanpa mengira siapa yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama, kata penyerang Raphinha.

Jurulatih Brazil, Tite tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai pemilihan pemain menjelang aksi pertama mereka dan tiada sebarang jaminan buat Vinicius Jr untuk berada dalam kesebelasan utama juara Piala Dunia lima kali itu.

"Kami adalah pasukan menyerang dan mempunyai ramai pemain hadapan akan membantu kami kerana DNA kami," kata Raphinha pada sidang akhbar.

Tite masih berahsia sama ada dia akan menggandingkan Fred dengan rakan sepasukannya di Manchester United, Casemiro untuk menguatkan bahagian tengah atau menggandingkan Vinicius bersama Neymar, Richarlison dan Raphinha.

Lucas Paqueta pula boleh bermain sebagai pemain kedua atau ketiga di bahagian tengah bergantung kepada formasi yang digunakan.

"Dengan Vinicius kami mempunyai pasukan yang lebih pantas tetapi memiliki Paqueta akan menjadikan kami pasukan yang lebih berbahaya di bahagian tengah," kata Raphinha.

Brazil membuka 20 minit pertama sesi latihan mereka kepada media, semalam tetapi merahsiakan formasi yang akan digunakan untuk pertemuan pertama menentang Serbia.

Penyerang, Richarlison senada dengan Raphinha mengenai pendekatan yang perlu digunakan Brazil dan memberitahu dengan jelas apa yang dia mahu jurulatih lakukan.

"Bagi saya, saya akan bermain dengan seberapa ramai pemain di bahagian hadapan.

"Dengan lebih ramai penyerang, saya akan lebih kerap menerima bola dan saya akan menjaringkan lebih banyak gol. Itulah yang saya mahu, menjadi nombor 9 Brazil," kata Richarlison.

Brazil memulakan kempen Piala Dunia Kumpulan G menentang Serbia awal pagi Jumaat ini sebelum berdepan Switzerland dan Cameroon.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 9:50 AM