NEYMAR bakal diturunkan apabila bertemu Korea Selatan. FOTO AFP
NEYMAR bakal diturunkan apabila bertemu Korea Selatan. FOTO AFP
Reuters

Al Rayyan: Penyerang Brazil, Neymar bersedia untuk beraksi bersama juara dunia lima kali itu pada perlawanan pusingan 16 terakhir Piala Dunia menentang Korea Selatan selepas pulih daripada kecederaan buku lali, kata jurulatih, Tite.

Neymar mengalami kecederaan ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Serbia pada aksi pembukaan sekali gus menyaksikannya terpaksa diketepikan ketika menang 1-0 ke atas Switzerland serta tewas mengejut di tangan Cameroon.

"Neymar akan berlatih hari ini pada sebelah petang dan jika dia berlatih dengan baik, dia akan bermain," kata Tite pada sidang akhbar.

Neymar mengalami masalah dengan kaki kanannya dan menjalani pembedahan empat tahun lalu kerana patah metatarsal.

Berita mengenai kembalinya Neymar ke dalam kesebelasan utama hadir selepas Thiago Silva ditanya semasa sidang akhbar sama ada Neymar akan bermain dan Tite kemudian memegang mikrofon dan berkata "ya."

Kehadiran Neymar tepat pada masanya selepas Brazil dilanda masalah kecergasan dengan Danilo cedera pergelangan kaki ketika menentang Serbia manakala Alex Sandro mengalami kecederaan pinggul ketika menentang Switzerland.

Alex Telles dan penyerang Gabriel Jesus, yang mengalami kecederaan lutut ketika menentang Cameroon, diketepikan untuk baki kejohanan kali ini.

Tite berkata Danilo juga cergas untuk kembali menentang Korea Selatan pada Selasa ini tetapi Sandro tidak akan bermain.

Tite menegaskan bahawa kepulangan Neymar adalah hasil kerja keras kakitangan perubatan pasukan sambil menegaskan kesihatan fizikal pemain adalah menjadi keutamaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 9:54 PM