NEYMAR dilihat tiba di Lapangan Antarabangsa Hamad di Doha, hari ini. FOTO Reuters
NEYMAR dilihat tiba di Lapangan Antarabangsa Hamad di Doha, hari ini. FOTO Reuters
AFP

Doha: Neymar dan seluruh skuad Piala Dunia Brazil tiba di Doha, hari ini.

Brazil yang sedang memburu gelaran juara dunia kali keenam, mengharungi kempen kelayakan cukup menakjubkan apabila tidak pernah tewas sekali gus menduduki tangga teratas kumpulan kelayakan Amerika Selatan.

Skuad bimbingan Tite adalah yang terakhir tiba daripada 32 pasukan di Piala Dunia Qatar.

Brazil, yang disingkirkan Belgium pada suku akhir edisi 2018 di Rusia, akan membuka kempen menentang Serbia, Jumaat ini.

Kemenangan terakhir Brazil di Piala Dunia adalah 20 tahun lalu ketika diperkuatkan penyerang Ronaldo, Rivaldo dan Ronaldinho.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar yang akan beraksi pada Piala Dunia ketiganya, sedang berada pada prestasi terbaik bersama kelab gergasi Perancis itu.

Pemain berusia 30 tahun itu sudah menjaringkan 13 gol dengan 11 bantuan jaringan dalam 19 perlawanan di Ligue 1 dan Liga Juara-Juara.

Brazil tidak pernah tewas dalam 15 perlawanan terakhir mereka dengan kali terakhir mengalami kekalahan adalah ketika menentang Argentina diketuai Lionel Messi pada final Copa America di Stadium Maracana Rio de Janeiro, tahun lalu.

Brazil diundi dalam Kumpulan G bersama Serbia dan Switzerland, lawan sama empat tahun lalu selain Cameroon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 8:47 AM